Wanita didapati bersalah dera amah dibenarkan tunai umrah

Wanita didapati bersalah dera amah dibenarkan tunai umrah

Mahkamah Rayuan membenarkan Rozita Mohd Ali ke Makkah, tetapi memerintahkan wang jaminan dinaikkan RM5,000.

Rozita Mohd Ali bercakap kepada peguamnya, Luqman Mazlan, selepas prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan seorang wanita yang didapati bersalah mendera pembantu rumahnya menunaikan umrah di Makkah bulan depan.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Umi Kalthum Abdul bagaimanapun memerintah kadar jaminan Rozita Mohd Ali dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM30,000.

Suri rumah bergelar “datin” itu dijatuhi hukuman penjara 8 tahun, tetapi hukuman itu digantung sementara menunggu rayuannya Jun lalu.

Umi Kalthum bersama Hakim Harminder Singh Dhaliwal dan Stephen Chung, turut memerintah Rozita menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada 17 April nanti, 2 hari selepas dia balik dari Makkah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron berkata, beliau tiada membantah keputusan mahkamah membenarkan Rozita ke luar negara, dengan syarat dia membayar jaminan tambahan RM10,000 itu.

Katanya, pihak pendakwaan meminta kadar jaminan dinaikkan kerana Rozita sudah disabitkan kesalahan.

Beliau turut memohon mahkamah memerintahkan Rozita memulangkan pasportnya pada 16 April, bukannya 17 April.

Bagaimanapun, peguam Rozita, Luqman Mazlan meminta kelonggaran untuk anak guamnya dengan mengambil kira kemungkinan penerbangan pulang ke tanah air mengalami kelewatan dan tambahan jaminan RM10,000 terlalu banyak.

Dalam permohonannya, Rozita berkata, dia memerlukan pasportnya untuk menunaikan umrah antara 4 hingga 14 April ini.

Pada 15 Mac 2018, wanita berusia 44 tahun itu mengaku bersalah menyebabkan kecederaan teruk menggunakan senjata berbahaya kepada pembantu rumah warga Indonesianya, Suyanti Sutrinso.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohammed Mokhzani Mokhtar pada mulanya membebaskan Rozita dengan bon kelakuan baik selama 5 tahun dan jaminan RM20,000.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetus kemarahan dalam kalangan masyarakat, dengan satu petisyen atas talian dilancarkan bagi membantah hukuman tersebut yang mendapat lebih 70,000 tandatangan.

Setelah dikaji semula, Pesuruhjaya Kehakiman Tun Majid Tun Hamzah memutuskan perintah bon kelakuan baik yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen tidak tepat dan menggantikannya dengan hukuman penjara 8 tahun.

Katanya, Mahkamah Sesyen itu telah silap menimbangkan faktor rayuan apabila Suyanti menarik balik laporan polis ketika perbicaraan.

Pada 30 Mei tahun lalu, Mahkamah Rayuan menggantung hukuman itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahnya membayar jaminan RM25,000 dan menyerahkan pasportnya.

Mahkamah turut mengarahkan wanita itu melaporkan diri di Balai Polis Damansara Utama 2 minggu sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.