Polis tahan suspek ke-4 hina Nabi Muhammad

Polis tahan suspek ke-4 hina Nabi Muhammad

Pemilik akaun Facebook 'Danny A’antonio Jr' ditahan semalam kerana memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.

Fuzi Harun berkata polis menerima 929 laporan polis di seluruh negara berhubung kes hina Islam dan Nabi Muhammad dan membuka 16 kertas siasatan.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan pemilik akaun Facebook “Danny A’antonio Jr” semalam kerana memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata suspek berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau pemusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).

“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fuzi turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau apa-apa rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman, sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Tiga individu ditahan pada Selasa dan seorang lagi masih diburu polis kerana disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.

Sehingga semalam, polis menerima 929 laporan polis di seluruh negara berhubung kes itu dan membuka 16 kertas siasatan bersabit kes penghinaan agama Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.