Pelaksanaan cukai minuman bergula ditangguh ke Julai

Pelaksanaan cukai minuman bergula ditangguh ke Julai

Ketua pengarah Kastam, T Subromaniam berkata, penangguhan itu bertujuan memberi masa secukupnya kepada pihak industri membuat persediaan.

Kerajaan menerusi Bajet 2019 mengumumkan cadangan memperkenalkan duti eksais mulai 1 April ini pada kadar 40 sen seliter ke atas 2 kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum dari 1 April kepada 1 Julai ini.

Ketua Pengarah Kastam, T Subromaniam dalam kenyataan hari ini berkata, penangguhan itu bertujuan memberi masa secukupnya kepada pihak industri membuat persediaan.

“Di samping itu, ia untuk memberi ruang kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia membuat persiapan sewajarnya, termasuk mengadakan ‘roadshow’ dan melesenkan pengilang minuman bergula di bawah Akta Eksais 1976.”

Subromaniam berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang kandungan gula daripada 5g kepada 7g per 100ml bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa di bawah kepala kod tarif 22.02, tidak termasuk produk minuman susu soya.

“Kenaikan nilai ambang bagi produk ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha untuk terus menggalakkan pengambilan produk berasaskan susu yang mengandungi paras kandungan gula lebih sihat di kalangan pengguna.”

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan cadangan memperkenalkan duti eksais mulai 1 April pada kadar 40 sen seliter ke atas 2 kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.

Produk tersebut adalah air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5g per 100ml serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah kepala kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12g per 100ml.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.