Jakim tubuh unit pemantau, kesan individu hina nabi

Jakim tubuh unit pemantau, kesan individu hina nabi

Ia susulan berlakunya kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad kebelakangan ini.

Unit seliaan Jakim akan memantau penulisan atau provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhammad dan Islam di semua platform media termasuk media sosial.
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan satu unit pemantau susulan berlakunya kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata unit di bawah seliaan Jakim itu akan memantau penulisan atau provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhammad dan agama Islam di semua platform media termasuk media sosial.

“Saya juga meminta unit pemantau ini menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad dan agama Islam, seterusnya dengan segera membuat laporan polis dan SKMM,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan, menghubungi unit tersebut di talian hotline 010-300 52 60 atau emelkan kepada [email protected].

Sebelum ini, 4 individu ditahan polis kerana disyaki menghina agama Islam termasuk menghina Nabi Muhammad dan isterinya, Aisyah.

Empat suspek yang ditahan itu dikenali sebagai Mohd Sharulnizam Stanley, Alister anak Cogia, Mohd Yazid Kong Abdullah dan Alvin Chow Mun Fai.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata sehingga kini polis menerima 929 laporan polis di seluruh negara berhubung kes ini dan membuka sebanyak 16 kertas siasatan bersabit kes penghinaan agama Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.