
“Dengan menyertai ICC, Kuala Lumpur kini boleh memainkan peranan penting dalam isu-isu berkaitan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya kepada AFP hari ini.
Malaysia ialah ahli ke-124 ICC yang ditubuhkan pada 2002 dan satu-satunya mahkamah jenayah perang tetap di dunia yang membuat pendakwaan terhadap kes jenayah terhadap kemanusiaan, apabila mahkamah sesebuah negara tidak mahu atau tidak dapat berbuat demikian.
Bagaimanapun, tribunal di The Hague itu dikritik kerana melepaskan kes berprofil tinggi, dengan Burundi menjadi negara pertama meninggalkan mahkamah itu pada 2017 dan Filipina mengumumkan hasratnya menarik diri.
Pakatan Harapan yang mengambil alih pertadbiran negara mulai 9 Mei tahun lalu, berikrar akan menyertai ICC dan Kulasegaran mengesahkan Malaysia menandatangani triti pengasas tribunal, semalam.
Kementerian Luar dalam kenyataan lewat malam tadi mengesahkan Menterinya, Saifuddin Abdullah menandatangani perjanjian itu selepas diluluskan Kabinet.
ICC menghadapi masalah besar Januari lalu selepas hakim melepaskan bekas presiden Ivory Coast, Laurent Gbagbo berhubung siri keganasan selepas pilihan raya. Ini menimbulkan persoalan sama ada mahkamah itu bertindak sejajar matlamatnya.
Burundi memutuskan untuk menarik diri, selepas ketua pendakwa ICC memulakan siasatan awal pada 2016 ke atas dakwaan jenayah kemanusiaan di negara Afrika tengah dalam satu krisis politik.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi notis pada Mac tahun lalu yang Manila akan menarik diri daripada ICC, selepas mahkamah itu menyiasat usaha memerangi penyalahgunaan dadah kerajaannya.