
Beliau berkata, pihaknya sedar terdapat sokongan terhadap kerajaan lama dalam kalangan penjawat awam, bagaimanapun beliau memahami dan menghormati pendirian politik masing-masing.
“Kita boleh berbeza dari segi fahaman politik, namun untuk berkhidmat kepada rakyat, kita tidak wajar menggunakan perbezaan kelompok, kaum atau agama sebagai penghalang.
“Imej kerajaan, kementerian dan seluruh agensi hendaklah sentiasa dipelihara,” katanya semasa berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Wan Azizah juga menggesa penjawat awam tidak menjadi ejen penyebar berita palsu.
“Dalam usaha kita memanfaatkan media sosial sebagai ejen penyampai maklumat dah promosi kepada masyarakat, ada juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu,” katanya.
Wan Azizah berkata, penjawat awam hendaklah mengetahui batas perhubungan dalam komunikasi dan mematuhi etika penggunaan media sosial.
“Walaupun untuk mempertahankan diri, jangan sesekali membalas kritikan netizen dengan bahasa yang kurang sopan,” katanya.
Mengulas mengenai pilihan raya kecil DUN Rantau yang akan berlangsung, Wan Azizah berkata Biro Politik PKR akan membincangkan mengenai calon dalam mesyuarat akan datang.
Beliau yang juga pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, ini termasuk cadangan untuk meletakkan Timbalan Ketua Bahagian PKR Rembau, S Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH).
“(Calon) Belum lagi diputuskan. Biro Politik akan bermesyuarat dan kita akan fikirkan,” katanya.
PRK Rantau akan diadakan dalam masa terdekat ini, berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban pada 16 Nov lalu yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.