Sebutan semula kes Shahidan cabul remaja 18, 19 Mac

Sebutan semula kes Shahidan cabul remaja 18, 19 Mac

Ahli Parlimen Arau dituduh melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan di dalam kereta di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, 20 Okt tahun lepas.

Shahidan Kassim dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mencabul seorang remaja perempuan.
KANGAR:
Mahkamah Sesyen II Kangar menetapkan 18 dan 19 Mac ini untuk mendengar sebutan semula kes Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang didakwa mencabul remaja perempuan bawah umur, tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh itu selepas tertuduh hadir untuk mendengar pengurusan kes itu hari ini.

Shahidan diwakili peguambela, Thalia Rohana Abdul Latiff, Zuhair Ahmad Zakwan dan Syed Mohammad Anwar Syed Lokman Hakim manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz.

Beliau dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga bahu seorang remaja perempuan berumur 15 tahun 7 bulan dalam kereta di tepi jalan perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, pada 11.30 malam, 20 Okt tahun lepas.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 12 Nov tahun lepas, dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, beliau yang ditemani isterinya, Shamsiah Md Yassin, tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.