Teater Ola Bola The Musical musim kedua yang terus mendapat sambutan hangat akan disambung pementasannya sehingga 10 Mac ini.

Pengarah Enfiniti Productions, Tiara Jacquelina berkata syarikat penerbitannya memutuskan untuk melanjutkan teater muzikal yang mula dipentaskan di Istana Budaya pada 18 Februari lalu selepas menerima sambutan memberansangkan daripada orang ramai.
“Kami lihat ada penonton yang berulang kali menyaksikan teater ini, sejak musim pertama. Malah, ada antara mereka yang berkongsi di media sosial mengenai perubahan dilakukan pada pementasan kali ini, termasuk dari aspek muzik dan tarian.
“Saya sendiri tumpang bangga apabila melihat ramai penonton begitu terkesan dengan semangat persahabatan ikhlas yang diterjemahkan dalam kalangan pelakon.
“Melihat penonton yang datang memberikan pelbagai reaksi seperti bersorak, menjerit dan bertepuk tangan juga sudah cukup mengujakan,” kata Tiara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri menyifatkan pementasan muzikal berkisar pasukan bola sepak dengan penuh semangat patriotik itu sebagai yang terbaik pernah disaksikan di negara ini, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menggambarkannya sebagai sama taraf dengan pementasan Broadway, Hamilton.
Ola Bola The Musical Returns! dibintangi oleh Iedil Putra, Brian Chan, Luqman Hafidz, Abi Manyu, Jian Wen, Melissa Ong, Douglas Lim dan Altimet. Ia turut diserikan dengan kemunculan Nabila Huda, Tony Eusoff dan Hafeez Mikail.