Pegawai kanan FGV direman 5 hari

Pegawai kanan FGV direman 5 hari

Sumber SPRM berkata, suspek itu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan RM10,000.

Suspek ditahan di Kajang pagi semalam kerana dipercayai menerima bayaran sebagai dorongan mengesyorkan lanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan FGV. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Pegawai kanan FGV Holdings Berhad yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam, direman 5 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan bernilai RM10,000.

Menurut sumber SPRM, suspek berusia 50 tahun itu direman sehingga Khamis ini.

“Majistret, Maizatul Munirah Abd Rahman membenarkan tempoh tahanan reman terhadap suspek selama 5 hari bagi membantu siasatan kes itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pegawai kanan itu ditahan di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang, kira-kira 11.30 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Individu itu dipercayai menerima bayaran berkenaan sebagai dorongan mengesyorkan lanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan syarikat berkaitan kerajaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.