
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata doula tidak pernah diiktiraf pihaknya dan Kementerian Kesihatan.
Sehingga kini, pihaknya juga belum pernah menerima sebarang permohonan dari mana-mana organisasi untuk mendapatkan pandangan atau kelulusan bagi menguruskan perkhidmatan doula.
“Jabatan ini menggesa agar mana-mana organisasi mahupun individu yang berkaitan dengan perkhidmatan doula untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi seolah-olah perkhidmatan doula mempunyai jalinan bekerjasama dengan fasiliti kesihatan di Jabatan Kesihatan Johor.
“Selain itu, jabatan ini menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin dan hasutan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau mengulas dakwaan seorang pengguna Facebook semalam yang menyebut aktiviti doula di Johor selama ini berlangsung tanpa masalah kerana mendakwa terdapat persefahaman dengan pihak pengurus fasiliti kesihatan negeri.
Dr Selahuddeen berkata menurut peruntukan undang-undang sedia ada, penglibatan individu yang tidak berdaftar dan tidak bertauliah dalam pengurusan jagaan ibu mengandung serta proses kelahiran adalah satu kesalahan.
“Misalnya Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamal amalan perbidanan tanpa pendaftaran bawah akta tersebut melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau pemenjaraan tidak lebih dari 1 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Akhir-akhir ini, isu doula mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai akibat tindakan sebuah televisyen swasta menjemput seorang professor serta pengamal doula bebas untuk membincangkan tajuk “Doula Peneman Ibu atau Pengganti Doktor.”
Kerajaan pernah menyatakan akan mewujudkan pengawalan dan peraturan terhadap perkhidmatan itu bagi mengelak berlaku sebarang kemudaratan kepada ibu yang bersalin dan juga anak yang dilahirkan.
Cadangan timbul selepas terdapat kes kematian bayi yang dilahirkan menggunakan khidmat itu pada awal tahun lepas.