Kerajaan cadang diskaun 30% di 4 lebuhraya, percuma dari 11pm-5am

Kerajaan cadang diskaun 30% di 4 lebuhraya, percuma dari 11pm-5am

Pengguna LDP, SPRINT, Kesas dan Terowong Smart akan menikmati kadar tol diskaun 30% selepas kerajaan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada.

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pengguna di 4 lebuhraya akan menikmati kadar tol diskaun 30% bagi pengunaan waktu biasa, selepas konsesi lebuhraya berkenaan diambil alih kerajaan susulan rundingan dengan Gamuda Berhad.

Empat lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Disamping itu, kadar tol dihapuskan sama sekali antara 11 malam dan 5 pagi.

Kerajaan bercadang memperkenalkan pengurangan tersebut menerusi penghapusan mekanisme kutipan tol sedia ada di 4 lebuhraya terbabit.

“Sebagai ganti ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuhraya akan hanya dikenakan bayaran ‘congestion charge’ yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama 6 jam sehari.

“Hasil kutipan ‘congestion charge’ akan digunapakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuhraya serta bayaran pinjaman,” katanya dalam kenyataan.

Pejabat Perdana Menteri berkata lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam yang digunakan untuk meningkat mutu pengangkutan awam.

“Ini adalah sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuhraya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.