Petisyen: Mahkamah perintah bicara untuk kerusi Kimanis, Sipitang

Petisyen: Mahkamah perintah bicara untuk kerusi Kimanis, Sipitang

Ia juga benarkan perbicaraan diadakan di depan hakim baru.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan perbicaraan petisyen pilihan raya diadakan untuk kerusi Kimanis dan Sipitang di Sabah yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, mahkamah mengesahkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya tahun lalu yang menolak petisyen bagi kerusi Pensiangan, yang juga dimenangi BN.

Panel 5 hakim, diketuai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah berkata, merit pilihan raya Kimanis perlu didengar memandangkan calon Warisan Datuk Karim Bujang mematuhi peraturan petisyen pilihan raya.

Wong, yang membenarkan permohonan Karim supaya perbicaraan didengar di depan hakim baru, juga memerintah pengurusan kes diadakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Rabu.

Datuk Seri Anifah Aman, bekas menteri luar negeri, memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau mendapat 11,942 berbanding 11,786 undi yang diraih oleh Karim.

Panel 5 hakim yang lain, diketuai Tan Sri Ahmad Maarop juga membenarkan perbicaraan untuk kerusi Sipitang yang difailkan oleh calon Warisan, Noor Hayaty Mustapha.

Pada PRU14 lalu, Yamani Hafez Musa, anak bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman, menang kerusi itu, dengan 852 undi majoriti.

Panel hakim juga membenarkan permohonan Hayaty supaya perbicaraan didengar di depan hakim baru dan menetapkan 25 Februari untuk pengurusan kes.

Arthur Joseph Kurup, anak Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, bernasib baik kerana panel hakim yang diketui Ahmad menolak rayuan calon PKR untuk kerusi Pensiangan, Raymond Ahuar.

Mahkamah Pilihan Raya tahun lalu menolak permohonan Ahuar untuk meminda petisyen pilihan rayanya bagi memasukkan tuduhan menyalahi undang-undang berkaitan perbelanjaan pilihan raya.

Arthur, yang mengambil alih kerusi daripada bapanya, menang dengan majoriti 2,314 undi dalam pertandingan 5 penjuru. Beliau meraih 11,783 undi berbanding 9,469 undi oleh Raymond.

Sebelum itu, panel hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum, juga memerintahkan perbicaraan kerusi Parlimen Jasin selepas membenarkan rayuan oleh calon PKR, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.