Penantian warga pendidik untuk merealisasikan Sekolahku, Rumahku

Penantian warga pendidik untuk merealisasikan Sekolahku, Rumahku

Warga pendidik sentiasa menantikan usaha bersepadu Kementerian Pendidikan dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara lebih mampan dengan menjadikan sekolah seperti sebuah rumah yang boleh memberi kebahagiaan kepada semua.

(Gambar Bernama)

Saban hari, kita pasti terdengar rintihan rakan pendidik di pejabat guru tentang kerja dokumentasi bertimbun, cabaran pengurusan kelas semasa pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC), kerenah yang dihadapi ketika berdepan ibu bapa, tekanan yang dirasai apabila menguruskan pelbagai penilaian dan penaksiran di peringkat sekolah.

Apakah daya kita untuk membantu dalam masalah-masalah ini, selain duduk bersama dan mendengar luahan rakan sekerja.

Kita faham sekolah sepatutnya menjadi tempat belajar menyeronokkan buat murid, tetapi tidak boleh diabaikan juga, sekolah seharusnya menjadi tempat kerja yang boleh memberi keyakinan dan motivasi kepada warga pendidik untuk meningkatkan kualiti diri dalam profesion perguruan.

Apabila warga pendidik tidak lagi merasai nikmat dan keseronokan untuk mengajar dan mendidik di sekolah, pastinya kualiti pendidikan akan terjejas. Lebih-lebih lagi guru terpaksa berdepan kerenah birokrasi dalam proses atau urusan kerja, khasnya hal-hal pentadbiran sekolah yang perlu melalui berbagai prosedur, peringkat kelulusan dan sebagainya sebelum sesuatu projek atau gerak kerja itu dapat diluluskan dan dilaksanakan.

Hal ini wajar dipandang serius pembuat dan penilai dasar pendidikan kerana ia akan menyebabkan pembaziran masa sehingga produktiviti guru di sekolah semakin berkurangan.

Warga pendidik sememangnya menaruh harapan tinggi daripada pentadbiran baru di peringkat kementerian untuk menilai semula dasar dan polisi lama pendidikan yang tidak cekap dan praktikal, terutamanya polisi pendidikan yang masih terbawa-bawa dengan unsur amalan konvensional.

Dalam mendepani arus pendidikan alaf baru, pihak kementerian mempunyai obligasi besar untuk berani melakukan perubahan terhadap dasar pendidikan ketinggalan zaman.

Bukan itu sahaja, kerap kali apabila polisi baru diperkenalkan di peringkat kementerian, hasilnya seolah-oleh kurang memuaskan di peringkat pelaksana.

Oleh itu, fasa pelaksanaan sesuatu dasar pendidikan harus dititikberatkan semua pihak yang bertanggungjawab memastikan apa disasarkan itu dapat direalisasikan secara terancang dan berjaya.

Begitu juga saluran maklum balas yang lebih berkesan harus disediakan untuk menerima sebarang cadangan atau kritikan pelaksana agar usaha penambahbaikan boleh dilakukan dari masa ke masa.

Ekoran pengumuman Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengenai 5 inisiatif merangkumi 9 intervensi daripada Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan bebanan tugas guru di sekolah, kita boleh lihat pihak kementerian mula mengorak langkah untuk meneliti satu persatu masalah dihadapi guru di peringkat sekolah dan mengemukakan intervensi bersesuaian untuk mengatasi masalah tersebut.

Saya yakin dan percaya inisiatif memudahkan kerja pengurusan fail dan dokumentasi disambut baik warga pendidik yang pernah terlibat dalam bidang tugas berkenaan.

Contohnya, pemberian autonomi kepada pihak sekolah untuk menentukan cara simpanan fail seperti fail panitia, sama ada dalam bentuk salinan digital atau keras, menjimatkan masa guru menguruskan fail.

Inisiatif ini juga menunjukkan pihak kementerian yakin dengan keupayaan dan kebolehan guru dalam hal-hal tadbir urus di peringkat sekolah.

Justeru, saya berpendapat warga pendidik sememangnya berkemampuan mentadbir urus sekolah berdasarkan pengalaman, etika dan profesionalisme guru yang diterapkan dalam diri mereka.

Sungguhpun kita sedar tidak mudah melakukan perubahan terhadap sistem pendidikan sedia ada yang masih mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan, tetapi warga pendidik perlu memainkan peranan signifikan untuk berani menyuarakan pandangan dan idea konstruktif kepada pihak atasan agar penambahbaikan dapat diusahakan pada masa depan demi memastikan aspirasi pendidikan benar-benar tercapai suatu hari nanti.

Warga pendidik sentiasa menantikan usaha bersepadu Kementerian Pendidikan dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara lebih mampan dengan menjadikan sekolah seperti sebuah kediaman yang boleh memberi kebahagiaan kepada semua – Sekolahku, Rumahku.

Wang Wee Foong ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.