Kes rasuah Rizal Mansor akan dibicara bersama Rosmah

Kes rasuah Rizal Mansor akan dibicara bersama Rosmah

Perbicaraan melibatkan projek solar sekolah luar bandar Sarawak

(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor, akan dibicarakan bersama kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk memindahkan kes berkenaan ke mahkamah yang mendengar kes Rosmah.

Peguam N Yohendra yang mewakili Rizal, 45, tidak membantah permohonan pendakwaan dan mahkamah menetapkan 21 Februari untuk sebutan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Pada 15 November 2018, Rizal, 45, mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta.

Ia melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa meminta, bagi pihak Rosmah RM187.5 juta iaitu 15% nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, Rizal didakwa meminta bagi dirinya suapan RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di di sebuah kafe di Sunway Putra Mall, Chow Kit antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa menerima RM5 juta bagi pihak Rosmah daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di lobi sebuah syarikat di Jalan Bukit Bintang pada 20 Disember 2016.

Menurut pertuduhan keempat, Rizal didakwa menerima bagi dirinya sendiri RM500,000 daripada Saidi sebagai upah dalam memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Rizal didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Bukit Segambut pada 23 Disember 2016.

Semua pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Rosmah didakwa atas 2 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada 2 tahun lepas.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.