PPBM: DAP Sabah sepakat sokong keputusan Shafie

PPBM: DAP Sabah sepakat sokong keputusan Shafie

DAP Sabah yakin Shafie yang juga presiden Warisan berupayaan mengendalikan isu kemasukan PPBM ke negeri itu dengan baik.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata, kemasukan PPBM ke Sabah akan memberi kesan kepada PH negeri itu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
DAP Sabah sepakat berada di belakang Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku ketua kerajaan negeri dan akan menyokong apa sahaja keputusan dibuat berhubung keputusan PPBM untuk melebarkan sayap ke Sabah.

Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, partinya yakin Shafie yang juga presiden Warisan berupayaan mengendalikan isu itu dengan baik.

“Kami tahu beliau (Shafie) mampu mengendalikan isu ini dan kami sudah tentu akan berada di belakang beliau dalam apa juga keputusan yang dibuat (mengenai kemasukan PPBM ke Sabah),” katanya.

Stephen yang juga menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin dan Ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang.

Stephen diminta mengulas pengumuman Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan parti itu menubuhkan cawangan di Sabah.

Pada Jumaat, Dr Mahathir berkata keputusan berkenaan dibuat selepas anggota Umno Sabah yang keluar parti tidak mahu menyertai Warisan, sekutu Pakatan Harapan (PH).

Stephen berkata, kemasukan PPBM ke Sabah dilihat akan memberi kesan kepada PH, namun, DAP menyedari keputusan PPBM itu tidak boleh dihalang kerana ia adalah hak mereka.

Bagaimanapun katanya, DAP Sabah tidak bersetuju dengan tindakan PPBM menerima bekas pemimpin Umno menyertai parti itu.

Pada masa sekarang, beliau juga belum dapat memberi gambaran bagaimana kerjasama antara DAP dan PPBM sebagai parti komponen PH di Sabah kelak.

Sementara itu, Lim tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu sebelum mendengar kenyataan daripada Shafie.

Terdahulu, seramai 200 ahli Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) cawangan Matunggong menyerahkan borang keahlian menyertai DAP Sabah kepada Lim dan Stephen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.