
Perdana menteri itu berkata, janji tersebut akan ditunaikan meskipun kerajaan berdepan pelbagai kekangan, terutamanya dari segi kewangan.
“Kerajaan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membina 1 juta buah rumah dalam tempoh 10 tahun, jadi perlu ada kerjasama antara syarikat swasta dan kerajaan negeri bagi mendirikan rumah mampu milik.
“Kita sentiasa prihatin terhadap rumah mampu milik dan bersedia membangunkan rumah untuk rakyat. Inilah pendekatan kerajaan PH, walaupun kadang-kadang terhalang dengan banyak perkara, usaha tetap dilakukan,” katanya ketika melancarkan Dasar Komuniti Negara di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata, rakyat yang membeli rumah mampu milik tidak akan menjadi satu pembelian sia-sia sebaliknya berbaloi untuk masa depan mereka.
“Kalau dahulu rumah berharga RM25,000, sekarang rumah yang sama ada yang beli sampai RM150,000. Jadi rakyat boleh melabur dalam harta yang akan meningkat nilainya berkali ganda dari sekarang.
“Pada masa depan harga dan nilai barang juga akan meningkat, rumah RM400,000 akan naik kepada RM1 juta. Pembelian rumah mampu milik adalah pelaburan yang bijak dan kerajaan akan bantu rakyat hidup lebih mewah,” katanya.
Dalam pada itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin yang berucap dalam majlis yang sama berkata, sebuah rumah mampu milik akan dijual pada harga RM300,000 ke bawah.
“Harga itu bergantung pada lokaliti sesuatu kawasan, kalau seseorang individu mempunyai pendapatan tetap, harga rumah akan ditetapkan mengikut pendapatannya,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan merangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dalam usaha mewujudkan rumah mampu milik yang kondusif kepada golongan B40.
DRMM menggariskan spesifikasi dan panduan kepada pemaju untuk pembangunan rumah mampu milik, termasuklah menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik di negara ini pada 900 kaki persegi.
Harga rumah mampu milik, sama ada dibina kerajaan, kerajaan negeri atau pemaju swasta, ditetapkan pada RM90,000 hingga RM300,000.
Kerajaan persekutuan dijangka membina 100,000 rumah setiap tahun, dengan 61,000 rumah dibina kerajaan pusat, selebihnya dibina oleh kerajaan negeri dan swasta.
Dasar Komuniti Negara merujuk kepada pembentukan komuniti yang peka dan prihatin terhadap harta benda, ruang dan fasiliti serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap kawasan tempat tinggal.