Di sebalik dakwaan Dr M, Umno umum Hadi akan sepentas dengan BN di Semenyih

Di sebalik dakwaan Dr M, Umno umum Hadi akan sepentas dengan BN di Semenyih

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa, Hadi berjanji tidak akan menyokong BN dalam PRK Semenyih.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri berkata, seperti di Cameron Highlands, BN merancang mengadakan ceramah perdana bersama yang akan turut menampilkan presiden PAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Di sebalik dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya PAS tidak menyokong calon Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, pemimpin BN hari ini memberitahu mereka akan sekali lagi mengadakan ceramah perdana bersama pimpinan utama PAS seperti dalam PRK Cameron Highlands Januari lepas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti di Cameron Highlands, ceramah perdana yang masih dalam perancangan itu akan turut menampilkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ceramah BN sepentas dengan presiden PAS dalam perancangan dan sedang diatur,” katanya kepada FMT.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa, dalam pertemuan beliau dengan Hadi pada 15 Februari lalu, presiden PAS itu berjanji tidak akan menyokong BN pada PRK Semenyih.

Hari ini perdana menteri itu sekali lagi mengulang kenyataannya dengan berkata Hadi bersama-sama Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri membuat pengakuan tersebut dalam pertemuan tersebut, Jumaat lalu.

Ismail berkata, kenyataan Dr Mahathir itu adalah bukti kebimbangan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerjasama PAS-BN berikutan kemenangan besar calonnya di Cameron Highlands.

“Kerjasama Umno-PAS begitu jelas kelihatan semasa hari penamaan calon PRK Semenyih Sabtu lepas apabila pemimpin PAS turun berarak mengiringi calon BN,” katanya.

Selain itu kata Ismail, bukti PAS menyokong calon BN di Semenyih terlihat apabila mereka turut bersama-sama berada dalam jawatankuasa kerja mengatur strategi bagi menghadapi calon Pakatan Harapan (PH) di situ.

“Dari segi kerjasama Umno-PAS, saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama dengan setiausaha agung PAS bagi menyusun program sewaktu kempen hingga ke hari mengundi.

“Kenyataan Dr Mahathir hanyalah perang saraf untuk memecah-belahkan hubungan PAS-Umno. Saya yakin jentera kami, malah pengundi tidak mudah terpengaruh,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin dalam kenyataan hari ini berkata, parti itu komited memberi laluan serta sokongan kepada wakil pembangkang, iaitu BN, untuk bertanding di Semenyih, walaupun dengan kadar penglibatan yang berbeza berbanding PRK di Cameron Highlands.

Pendirian itu katanya adalah selaras dengan pendirian parti itu meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lain.

Beliau juga berkata, PAS kekal meneruskan hubungan dengan Umno atas dasar perpaduan umat dan solidariti pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.