Surat ‘berat sebelah’ tular, MCA persoal kebebasan Jabatan Peguam Negara

Surat ‘berat sebelah’ tular, MCA persoal kebebasan Jabatan Peguam Negara

Jurucakap parti berkata surat peguam cara negara III menimbulkan idea bahawa jabatan itu menerima arahan daripada perdana menteri.

(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA persoalkan kebebasan Jabatan Peguam Negara selepas tularnya surat yang didakwa menimbulkan idea bahawa pegawai jabatan itu seakan berat sebelah terhadap Barisan Nasional (BN).

Surat tersebut, yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, memaklumkan bahawa perdana menteri dalam satu mesyuarat jemaah menteri pada 19 Disember 2018 “memberi peringatan” supaya pendakwaan kes-kes rasuah ke atas “individu-individu tertentu” dijalankan mengikut jadual.

Dengan peringatan tersebut, Peguam Negara Tommy Thomas mengarahkan jabatan membantah sekeras-kerasnya sebarang permohonan untuk menangguhkan pendengaran perbicaraan kes-kes 1MDB dan bekas anak syarikat, SRC International, dan lain-lain kes berkaitan “kerajaan kleptokrasi”.

Jurucakap MCA, Chan Quin Er hari ini berkata surat yang tular itu menimbulkan idea jabatan itu tidak bertindak secara bebas dan menerima arahan daripada cabang eksekutif.

“Istilah kerajaan kleptokrasi pertama kali ditimbulkan oleh DAP dan Pakatan Harapan sebagai slogan pilihan raya tetapi tuduhan itu tidak pernah disiasat, belum terbukti dan tidak membawa kepada sebarang sabitan.

“Oleh itu, mengikut undang-undang dan logik, bagaimana jabatan itu boleh menggunakan istilah itu terhadap kerajaan persekutuan tanpa memfitnahnya?” katanya dalam kenyataan.

Chan berkata Pakatan Harapan sebelum menang pilihan raya bercakap mengenai memulihkan kebebasan Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.

Beliau seterusnya mengingatkan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebalik di mahkamah.

Sementara itu, Hanafiah ketika dihubungi FMT mengakui kesahan surat itu tetapi menangkis dakwaan MCA, mengatakan parti itu hanya membuat anggapan dan hersikap dramatik.

Beliau menjelaskan surat tersebut, yang merupakan pekeliling dalaman dan bukan untuk tatapan umum, hanya bercakap mengenai menjalankan pendakwaan mengikut jadual.

“Perbicaraan-perbicaraan itu telah ditetapkan pada tarikh-tarikh tertentu, jadi jangan tangguh. Itu sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.