Rundingan ECRL tak jejas eksport sawit ke China, kata Azmin

Rundingan ECRL tak jejas eksport sawit ke China, kata Azmin

China rakan dagang yang penting dan perbincangan berkaitan ERCL tidak patut menjejaskan hubungan kedua-dua negara, kata menteri.

SUBANG JAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yakin rundingan dengan China berkaitan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tidak akan menjejaskan eksport produk sawit ke negara itu.

Azmin berkata, China merupakan rakan dagang yang penting dan sewajarnya perbincangan berkaitan ECRL tidak patut menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

“Kita mahu terus tingkatkan perdagangan dengan semua negara termasuk China. Jadi kita akan bincang apakah yang terbaik untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Temu Rapat Pimpinan Keadilan Bersama Srikandi Pusat hari ini.

Ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini rundingan ERCL, Azmin menjawab tidak wajar untuk memberikan ulasan ketika rundingan sedang berjalan.

“Selepas kita lakukan rundingan, kita akan kembali ke mesyuarat Kabinet dan akan maklumkan perkara berkenaan kepada masyarakat umum.

“Kita mahu hubungan kukuh dengan China diteruskan dan terjalin, maka berilah masa ruang perbincangan ini diteruskan,” katanya.

Sebelum ini timbul lebih banyak persoalan mengenai nasib ECRL kerana surat yang memaklumkan China Communications Construction Company (CCCC) bahawa kerajaan tidak menerima tawaran mengurangkan kos projek tersebut daripada syarikat itu.

Dalam surat yang dimuatnaik di media sosial itu, syarikat berkaitan Kementerian Kewangan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberitahu CCCC bahawa satu-satunya cara untuk maju ke depan adalah bersama menamatkan projek itu.

Ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia tentang tawaran China itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar menjawab rundingan masih berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.