
Bekas ahli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata banyak lagi faktor yang PH kaitkan dalam bantahannya termasuk kos sara hidup yang tinggi.
Walaupun PH kini memberi alasan kutipan AES kini pergi kepada kerajaan, “pusingan U” itu tidak akan dapat memujuk rakyat menerima sistem itu, katanya.
“Setiap langkah PH yang menciplak dasar kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dengan terma baru atau alasan baru, hanya akan menyakitkan hati rakyat yang terguris dengan dasar sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Setiap ‘pusingan U’ yang kita lakukan, akan merangsangkan tindakbalas yang negatif daripada rakyat biasa.”
Ketua PKR Bagan Datuk itu menasihatkan PH bahawa rakyat pengguna jalan raya akan menilainya sama seperti kerajaan dulu jika ia menggunakan pendekatan hukum dan saman untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
Beliau tertanya bilakah kerajaan akan faham kelajuan kenderaan semata-mata bukan penyebab utama kemalangan jalan raya.
“Bila kali terakhir kita mengkaji had laju yang dibenarkan untuk setiap lebuh raya? Adakah kerajaan berhasrat untuk membuat pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan dan Perintah Had Laju Kebangsaan?” katanya.
“Kerajaan PH wajar membawa input dan idea yang bernas untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.”
Pada 7 Februari lepas, seorang pemimpin PH menjelaskan gabungan itu kini mempunyai pandangan berbeza mengenai AES selepas ia diubah.
“Saman ini tak lagi pergi kepada syarikat swasta, semua saman yang dikutip dan akan dikutip akan pergi kepada pihak JPJ dan kerajaan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Skim itu diambil sepenuhnya oleh JPJ bermula 1 September 2018 selepas kerajaan membuat keputusan untuk tidak membaharui kontrak Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.