
Bagaimanapun kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, mereka perlu menaik taraf kemudahan yang terdapat di gua itu terlebih dulu.
Permit operasi kuari berdekatan juga perlu dibatalkan bagi mendapatkan pengiktirafan Unesco, katanya selepas melancarkan program “Night at the Museum” di sini, semalam.
Menurut beliau, Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg juga telah mengarahkan kementeriannya menyediakan satu kertas Kabinet mengenai cara untuk meningkatkan mutu gua itu.

“Ini menggambarkan komitmen dan minat kita untuk menjadikan gua tersebut salah satu daripada tapak warisan dunia bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Karim berkata, Sarawak juga sedang berusaha mendapatkan semula rangka manusia yang dicari gali di Guan Niah oleh saintis dari Amerika Syarikat.
Lebih 100 rangka manusia dibawa ke Nevada di AS untuk tujuan penyelidikan di sebuah universiti di sana, katanya.
“Kajian telah dijalankan di situ dan kini kita mahu menjadikan Gua Niah sebuah tapak sejarah, dan rangka manusia yang ditemui itu perlu dibawa balik ke sini,” katanya.
“Setakat ini mereka bersetuju.
“Kita hanya perlu membayar kos pengangkutan. Mudah-mudahan rancangan ini akan selesai pada akhir tahun.”
Karim juga berkata, penyelidik dari New South Wales, Australia mendapati Gua Niah telah didiami oleh manusia kira-kira 65,000 tahun lalu, bukannya 40,000 tahun seperti didedahkan oleh kajian sebelum ini.
“Penemuan ini akan mengubah sejarah di wilayah ini,” tambahnya.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Karim berharap program “Night at the Museum” yang melibatkan peserta bermalam di muzium akan mengajar mereka kepentingan pemuliharaan sejarah.
Katanya, usaha tersebut akan menggalakkan pemuliharaan identiti budaya, warisan unik dan khazanah sejarah Sarawak.