
Siapa sangka, bermula dengan hobi memenuhi masa lapang, kini aktiviti bercucuk tanam di depan laman rumah menjadi sumber pendapatan utama seorang suri rumah.
Bermula “suka-suka”, Siti Nor Fazidah Senin, 31, kini mampu menjana pendapatan lumayan dengan menjual sayur yang ditanam sendiri selain menjual benih terbaik.
Hasil sayur yang ditanam pula mendapat permintaan dari kawasan sekitar Johor di samping ada pemborong tetap yang datang ke rumah mengambil hasil tanaman tersebut sebelum diagih di luar kawasan.
Wanita dari Felda Bukit Tongkat Kluang, Johor itu berkata, minat untuk bercucuk tanam wujud sejak kecil, malah ketika di tingkatan 1, Sekolah Menengah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (SMLKTP) Ulu Belitung dia turut mengambil subjek sains pertanian sebagai pilihan elektifnya.

“Sebenarnya saya bermula dengan hobi menanam pokok bunga untuk menyertai pertandingan keceriaan. Pada waktu itu, saya turut tanam sayuran seperti pokok kubis,” ujarnya ketika dihubungi FMT Ohsem.
Kini, Fazidah bukan sahaja mempunyai laman tanaman sendiri malah tidak menyangka tanaman yang diusahakan itu mempunyai peminat yang terdiri daripada pelanggan.
Wanita itu walaupun terus menanam pokok bunga tetapi meningkatkan tanaman sayur ekoran permintaannya yang semakin tinggi.

“Berkebun di laman rumah memberi kepuasan dan keseronokan. Saya suka tengok tanaman menghijau yang mana menjadi sumber ketenangan kepada saya,” tambahnya yang turut dibantu suami, Mohd Hafiz Fazil, untuk mengusahakan tanaman sayur.
Pada peringkat awal, Fazidah tiada niat untuk menjual hasil tanaman sebaliknya sering disedekahkan kepada jiran-jiran, namun tidak menyangka terdapat begitu banyak permintaan sehingga ramai yang menawarkan diri untuk membeli sayuran itu.
Kini, dengan menanam 10 jenis sayuran termasuk kubis, sawi Jepun, terung, daun sup, timun Jepun dan sebagainya, dia berjaya menjana RM300 sehari.
“Biasanya pemborong datang sendiri ambil sayuran sebelum diagihkan ke luar kawasan,” ujarnya yang turut menjual tanah sawit, sabut hancur, baja dan racun serangga untuk tanaman.
Buat masa ini, Fazidah turut membuat penghantaran melalui pos untuk jualan benih sayur.

Bercerita lanjut, ibu kepada 4 cahaya mata itu juga akui banyak berkongsi panduan dan tip tanaman di laman Facebook yang menggunakan nama anaknya, Nur Allia Zahra.
Fazidah mempunyai hampir 5,000 pengikut di laman Facebook tersebut.
“Ramai yang membeli benih selepas melihat hasil tanaman yang sememangnya terjamin tanpa bahan kimia.
“Perkongsian di laman Facebook bertujuan membantu masyarakat menanam sayur dengan teknik betul dan yang paling penting, bebas racun,” katanya mengakhiri perbualan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]