Signifikan 3 wilayah yang diraikan pada 1 Februari

Signifikan 3 wilayah yang diraikan pada 1 Februari

Sejarah Wilayah Persekutuan bermula apabila Kuala Lumpur suatu masa dahulu merupakan sebahagian daripada Selangor.

Bagi mereka yang menetap di Wilayah Persekutan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Labuan di Sabah dan Putrajaya, tanggal 1 Februari, adalah hari yang dinanti-nantikan kerana merupakan cuti umum.

Tetapi ramai yang tidak sedar kepentingan dan sejarah di sebalik pengisytiharan cuti tersebut, yakni signifikan sambutan Hari Wilayah yang diasaskan bersempena pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan pertama pada 1974.

Berapa ramai daripada anda yang tahu?

Sejarah Wilayah Persekutuan bermula apabila Kuala Lumpur suatu masa dahulu merupakan sebahagian daripada Selangor. Ia diserahkan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kepada kerajaan persekutuan selepas mendapati kerajaan persekutuan berhasrat memiliki sebuah ibu negara yang dapat ditadbir secara langsung.

Ekoran itu, melalui Perjanjian Kuala Lumpur, detik bersejarah tercipta apabila Kuala Lumpur diisytiharkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Feb 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak.

Ini diikuti Labuan pula diangkat menjadi Wilayah Persekutuan kedua pada 1984 diikuti pusat pemerintahan negara, Putrajaya pada 2001.

Ketiga-tiga wilayah ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan dan setiap wilayah ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan iaitu DBKL bagi Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan (Labuan) dan Perbadanan Putrajaya (Putrajaya).

Menariknya pada tahun ini, FMT Ohsem membuat tinjauan sekitar wilayah ini untuk mengorek dan berkongsi isu dan perkara menarik yang kami temui di 3 Wilayah tersebut.

1. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ibu negara Malaysia ini tergolong sebagai metropolitan yang pesat membangun di Lembah Klang di samping pembangunan sosial penduduk dan ekonominya. Ada sahaja perkara menarik yang menyelubungi bandar raya meliputi tanah seluas 244 km2 ini. Terbaru, kita semua tentu pasti ada membaca mengenai kontroversi nama Bangsar South yang dahulunya dikenali Kampung Kerinchi ditukar berikutan pembangunan mendadak di kawasan itu.

Sebagai salah satu warisan sejarah yang sepatutnya dipertahankan dan dijadikan kebanggaan. Nama Kerinchi wujud susulan kedatangan masyarakat ‘Kerinci’ dari Sumatera pada 1870an kerana melarikan diri daripada penjajahan Belanda. Masa berlalu dan kawasan itu berkembang menjadi penempatan utama orang Melayu serta merupakan tapak kepada pangsapuri Kerinchi yang dikenali umum. Bagaimanapun dengan campur tangan pihak nama Kampung Kerinchi berjaya dikekalkan semula.

2. Wilayah Persekutuan Putrajaya

Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999 dan ibu negara pentadbiran Malaysia. Dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994. Kota yang sinonim dengan pejabat kerajaan ini menawarkan landskap serta senibina yang menarik untuk kunjungan pelancong luar mahupun orang tempatan khususnya pada hujung minggu.

Menarik mengenai Putrajaya ialah jalan-jalan yang disediakan untuk kemudahan pengguna. Bukan sahaja jalan raya malah laluan pejalan kaki dan penunggang basikal juga dibina menjadikan ia salah satu bandar mesra penunggang basikal.

Hujung minggu pasti ada ramai pengunjung yang menaiki mountain bike (MTB) dan basikal lumba beriadah di sekitar kawasan Putrajaya yang lenggang.

Laluan basikal di sini terbahagi kepada 3 kategori:

Laluan mudah

Ia terbahagi kepada 3 laluan iaitu Sisiran Tasik sepanjang 12.1 kilometer (km), laluan Perdana (5km) dan laluan Marina (2.7km).

Bagi laluan mudah, mereka dapat melihat mercu tanda unik Putrajaya seperti Jambatan Seri Wawasan, Monumen Alaf Baru, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Bangunan Perdana Putra, Istana Kehakiman, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Marina Putrajaya.

Laluan sederhana

Laluan sederhana pula terdiri daripada Saujana Hijau (7.2km), Wetland (4km) dan Putra Perdana (800 meter).

Antara tarikan di kawasan laluan sederhana adalah Kelab Tasik Putrajaya, Seri Perdana, Moroccan Pavilion, Taman Botani dan Taman Putra Perdana manakala laluan mencabar terbahagi kepada Taman Rimba Alam (5km), Taman Cabaran (2.7km) dan Taman Wawasan (3.6km).

Laluan mencabar

Bagi mereka yang mempunyai kemahiran berbasikal yang tinggi dan sukakan cabaran, bolehlah ke Taman Cabaran Putrajaya. Di sini telah disediakan laluan berbasikal untuk 2 kategori lasak iaitu Mountain Bike (MTB) dan litar BMX. Trek MTB berjarak 9.1 km dam ianya dibina dalam kawasan hutan, ladang getah dan kelapa sawit yang memberikan cabaran tersendiri.

3. Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan merupakan Wilayah Persekutuan yang kedua diiktiraf di Malaysia. Terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, ia diisytiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) pada 1990 dan pelabuhan bebas cukai sejak 1956. Labuan mempunyai pelabuhan yang besar berasal dari nama pelabuhan atau “Labuhan”.

Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang terkenal. Selain perairan yang mesra aktiviti menyelam dan penyelaman skuba, ia terkenal untuk memborong barangan import kerana kelebihan dagangannya yang bebas cukai. Rokok, minuman beralkohol, barangan penjagaan kulit dan wangian adalah antara barangan paling laris dibawa keluar oleh para pelancong kerana terdapat penjimatan berganda.

Tidah ketingggalan, coklat yang yang menjadi salah satu tarikan utama pulau ini. Kebanyakan coklat yang dijual di sini dikatakan tidak dijual dimana-mana tempat lain di Malaysia kerana ia barangan import, kecuali di Langkawi.

Selain pulau bebas cukai, Labuan juga dikenali sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) dan pusat industri minyak dan gas.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.