Peranan Kementerian Pembangunan Usahawan kabur, kata persatuan IKS

Peranan Kementerian Pembangunan Usahawan kabur, kata persatuan IKS

Golongan usahawan tidak mempunyai kementerian khusus untuk dirujuk pada zaman pentadbiran lepas, tetapi apabila diwujudkan semula, nasib usahawan tidak banyak berubah.

65% pekerjaan yang ditawarkan di negara ini adalah daripada IKS, yang menyumbang 18% daripada keseluruhan eksport negara.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Usahawan ditubuhkan untuk membantu para usahawan secara khusus, tetapi peranan kementerian itu masih samar-samar, kata Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.

Beliau berkata, golongan usahawan tidak mempunyai kementerian khusus untuk dirujuk pada zaman pentadbiran terdahulu, namun apabila ia diwujudkan semula, nasib usahawan tidak banyak berubah.

“Dahulu kita terpaksa rujuk kepada beberapa kementerian berbeza, sekarang apabila diwujudkan semula, masalah-yang dihadapi usahawan ketika itu masih berlaku.

“Kita tidak minta selesaikan masalah usahawan 100%, tetapi kenapa sampai sekarang masih tiada jalan penyelesaian yang jelas bagi menghadapi cabaran kenaikan harga barang, kos sara hidup dan isu pekerja asing,” katanya kepada FMT.

Pada masa sama, Ridzuan juga kurang bersetuju dengan cadangan mengurangkan geran kepada usahawan Bumiputera.

“Saya tidak faham kenapa geran itu perlu dikurangkan, tidak semua usahawan boleh berjaya dengan sekelip mata, saya sendiri pun pernah bankrap, tetapi berjaya bangkit semula.

“Jangan kata disebabkan orang Melayu malas, maka mereka tidak sepatutnya dibantu sedangkan ramai anak Melayu sudah bijak berniaga sehingga kreatif melakukan bisnes secara dalam talian,” katanya.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.

Beliau berkata, perkara yang diharapkan daripada kerajaan ketika ini adalah inisiatif untuk menyamaratakan taraf ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Kementerian Pembangunan Usahawan mula ditubuhkan pada 1995 bagi memberi penekanan khusus kepada pembangunan usahawan Bumiputera.

Pada 2004, kementerian tersebut diubah menjadi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi memberi tumpuan kepada Jabatan Pembangunan Koperasi, Maktab Kerjasama Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan ketika itu untuk membantu golongan usahawan di negara ini menerusi pemberian geran, peluang latihan dan promosi dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan serta daya saing dalam kalangan usahawan.

Namun bermula 2009, kerajaan memansuhkan Kementerian Usahawan dan peranannya dibahagikan dan diserap ke kementerian lain, sekali gus memberi kesan kepada usahawan, termasuk yang baru menceburi bidang tersebut.

Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengembalikan kementerian usahawan diharap menaikkan industri kecil dan sederhana (IKS) yang merangkumi 97% daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan setakat 2017, menyumbang sejumlah 37% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata beliau.

Malah katanya, 65% pekerjaan yang ditawarkan di negara ini adalah daripada IKS, serta menyumbang 18% daripada keseluruhan eksport negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.