
Mungkin ramai yang tidak kenal kerepek ngaku (sengkuang Cina), memandangkan ia hanya ‘muncul’ sekali sepanjang tahun iaitu pada musim perayaan Tahun Baru Cina.
Rasa lemak dan rangup menyebabkan kita tidak sedar sebalang kerepek berbentuk bulat menyerupai keledek boleh dihabiskan begitu sahaja. Ngaku ada ‘peminat’ dan pengikutnya sendiri dan ekoran ia hanya bermusim agak sukar juga untuk mencapai kerepek ini.
Namun, FMT Ohsem berjaya menghubungi seorang pengusaha kerepek ngaku, Liyana Zaharim yang akui menerima tempahan kira-kira 200kg kerepek untuk musim perayaan Cina ini.
Beliau berkata, permintaan yang tinggi terhadap kerepek berkenaan kerana hanya dibuka sekali setahun dan pelanggan sendiri yang menghubunginya untuk tempahan.
Mula terlibat dalam perniagaan sambilan menjual kerepek ngaku sejak 2014, Liyana turut menggunakan perkhidmatan pos untuk menghantar kerepek yang dipesan dari pelanggan seluruh Malaysia.
Tahun ini, ekoran tempahan yang banyak, Liyana dibantu suami. “Saya memang tahu khasiat kerepek berkenaan kerana bukan sahaja dijadikan kudapan tapi baik untuk kesihatan terutama mereka yang mempunyai kolestrol tinggi dan melegakan batuk selain boleh dijadikan diletakkan dalam sup untuk menyejukkan badan,” katanya yang menggunakan laman sosial untuk membuat pengumuman mengenai musim kerepek ngaku.

Ubi ngaku mendukung banyak nutrisi selain menjadi kudapan yang sihat kerana hanya mengandungi kira-kira 35 kalori bagi setiap 100gram.
Mari kita lihat beberapa khasiat ubi ngaku dan mungkin boleh menjadikannya sebagai pilihan snek yang sihat selepas ini.
1. Kaya dengan Vitamin C
Ubi ini kaya dengan Vitamin C, mengandungi sejumlah kecil kumpulan Vitamin B-kompleks seperti folat, riboflavin, pyridoxine, asid pantothenic dan thiamin.
Selain itu, ia juga turut memiliki sejumlah mineral penting seperti magnesium, tembaga, besi dan mangan.
2. Bantu kurangkan kolestrol
Kandungan air dan serat dalam ubi sengkuang mampu membantu merendahkan tahap kolestrol dalam darah.
Ditambah pula dengan kandungan vitamin C dalam ubi kayu yang berfungsi sebagai antioksidan juga mampu membantu dalam pengurangan tahap kolestrol dalam darah.
3. Menghaluskan kulit
Kandungan Vitamin B1 dan Vitamin C yang terdapat dalam ubi tersebut mampu menjadikan kulit kelihatan cerah dan halus.
Jika rajin, boleh cuba jadikan ubi yang telah diparut sebagai skrub dan dipercayai mampu mengurangkan parut-parut jerawat pada muka.
4. Membantu mengurangkan kedutan
Tumbuhan ini juga adalah salah satu sumber makanan yang mengandungi fitoestrogen. Kehadiran fitoestrogen penting terutamanya apabila wanita memasuki tahap menopaus kerana boleh membantu mengurangkan kedutan dan penuaan organ-organ tulang.
5. Mengurangkan demam
Sengkuang Cina juga mempunyai kandungan kimia yang mampu mengurangkan demam.
Ubi sengkuang dikeringkan dan dijadikan sebagai ubat herba dengan merebus dan minum airnya untuk mengatasi demam panas, menyejukkan badan.
6. Melawaskan pembuangan air kecil
Jus ubi sengkuang di campur gula dan diminum untuk melawaskan pembuangan air kecil, penawar demam kuning dan gout.
7. Penawar kurap
Selain ubi, biji sengkuang dipercayai menawarkan khasiatnya yang tersendiri. Biji sengkuang ditumbuk lumat dan dicampur belerang sebelum ditampal pada penyakit kulit yang berjangkit apabila digaru.
