Mahkamah tolak petugas, penganut kuil dalam inkues kematian Adib

Mahkamah tolak petugas, penganut kuil dalam inkues kematian Adib

Koroner berkata tidak ada asas yang substantif, tulen dan munasabah untuk menjadikan mereka sebagai pihak yang berkepentingan.

Pasukan petugas Sri Mariamman dan penganutnya tidak dibenar menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian Muhammad Adib.
SHAH ALAM:
Mahkamah Koroner yang ditubuhkan untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tahun lalu menolak permohonan pasukan petugas kuil Sri Maha Mariamman dan penganutnya mengambil bahagian dalam inkues itu.

Koroner Rofiah Mohamad berkata tidak ada asas yang substantif, tulen dan munasabah untuk menjadikan mereka sebagai pihak yang berkepentingan.

“Inkues ini bukan mengenai mencari liabiliti jenayah tetapi untuk membantu mahkamah menjadi punca kematian si mati,” katanya.

Bagaimanapun, Rofiah membenarkan permohonan Majlis Peguam untuk menjadi pihak yang berkepentingan dan menyumbang kepada prosiding.

Peguam, Roger Chan Weng Keng, yang mewakili majlis itu berkata Seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang 1976 membenarkan kumpulan peguam membantu orang ramai dalam semua perkara berkaitan undang-undang.

Peguam, M Visvanathan dan Siti Kasim, yang mewakili pasukan petugas kuil dan penganutnya, berkata mereka akan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan hari ini.

“Kami juga kecewa apabila pegawai pelaksana Hamdan Hamzah dengan tegas membantah penyertaan kami dalam inkues itu,” kata Visvanathan kepada FMT.

Selain Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba diberi kebenaran untuk membantu inkues tersebut.

Inkues itu akan diadakan pada 11 hingga 28 Feb, 1 hingga 5 Mac, 19 hingga 29 Mac dan 1 hingga 12 Apr depan. Seramai 30 saksi dijangka memberi keterangan.

Adib, 24, cedera parah semasa rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25. Dia adalah sebahagian pasukan penyelamat yang dihantar dari Balai Bomba dan Penyelamat, Subang Jaya pada 27 Nov.

Dia meninggal dunia di Institut Jantung Negara 3 minggu kemudian pada 17 Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.