Tuntutan bayaran balik GST mula dibayar secara berperingkat

Tuntutan bayaran balik GST mula dibayar secara berperingkat

Bayaran akan dibuat mulai sekarang bagi jumlah tuntutan bawah RM50,000.

PUTRAJAYA:
Kebanyakan tuntutan bayaran balik GST yang dikemukakan kepada kastam melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarah Datuk Seri T Subromaniam.

Kastam berhasrat untuk melaksanakan wang tahanan dan jaminan bank sebagai pilihan bagi syarikat berdaftar GST untuk menjamin keselamatan hasil.

Jaminan bank yang akan dilaksanakan ialah pada kadar minimum 30% daripada nilai tuntutan syarikat, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jabatan itu menggunakan beberapa strategi untuk menyelesaikan isu pembayaran balik GST.

Katanya bagi jumlah tuntutan bawah RM50,000, audit meja telah selesai dilaksanakan dan bayaran akan dibuat mulai sekarang.

“Jumlah permohonan ini melebihi 80% daripada jumlah bilangan tuntutan yang dipohon oleh syarikat,” katanya.

Bagi tuntutan berjumlah antara RM50,000 dan RM100,000, Subromaniam berkata bayaran akan dibuat pada kadar 80% dan hanya lawatan tapak atau audit sampel akan dibuat selain mengenakan wang tahanan pada kadar 20%.

“Wang tahanan ini akan dilepaskan selepas lawatan tapak atau audit sampel dibuat dan dijangka selesai dalam tempoh setahun,” katanya.

Bagi tuntutan melebihi RM100,000, bayaran akan dibuat pada kadar 70% dan audit lapangan akan dibuat melalui pengurusan risiko dan jaminan bank akan dikenakan pada kadar minimum 30%.

“Syarikat-syarikat ini hanya akan menanggung kos sebanyak 0.9% hingga 1.5% di mana pilihan diberikan kepada syarikat untuk menggantikan kaedah jaminan bank kepada kaedah wang tahanan.

“Melalui kaedah ini, bayaran 70% daripada jumlah tuntutan akan dibayar kepada syarikat manakala 30% daripada jumlah tuntutan akan ditahan dan akan dibayar balik selepas tindakan lawatan atau audit lapangan selesai dilaksanakan dalam tempoh 2 bulan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.