Pengembala kambing moden kejar Phd

Pengembala kambing moden kejar Phd

Anas, seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu tidak membuatkannya bermegah dengan apa yang ada malah masih ‘bermain’ lumpur dengan binatang ternakan dan menjadi pengembala kambing moden.

Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih, mungkin peribahasa tersebut sesuai kepada pensyarah muda dari Shah Alam, Anas Ahmad Jamhari yang sanggup membahagikan masa kepada 3 tugas penting dalam hidup.

Bergelar sebagai pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu sejak 9 tahun lalu dia tidak bermegah dengan apa yang ada malah masih ‘bermain’ lumpur dengan binatang ternakan dan menjadi pengembala kambing moden.

Malah pada masa sama, Anas juga seorang calon PhD dan sedang menyiapkan tesis dalam bidang Sains Bioperubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Walaupun terpaksa berulang- alik dari Terengganu dan Shah Alam, kerana menguruskan ternakan kambing, ia tidak menghalangnya mengendalikan 3 kerja serentak.

“Ini semua kehendak sendiri dan tiada siapa yang memaksa. Walaupun sibuk dengan jadual belajar dan mengajar selain menjadi penternak kambing, saya masih mampu menyeimbangkan semua tugas,” ujarnya ketika dihubungi FMT Ohsem, baru-baru ini.

Berkongsi cerita, anak muda ini berkata, kalau diikutkan masa memang tidak mencukupi untuk menguruskan semua tugas secara serentak tapi perlu membuat pengurusan masa yang tepat.

“Cabaran buat bisnes sambil belajar memang hebat, kena bahagikan masa dengan sebaiknya supaya seimbang,” ujarnya.

Malah dia hanya mampu berehat selama 3 atau 4 jam sehari dan selebihnya digunakan untuk ‘menyelesaikan’ 3 tugas tersebut.

Anas berkata walaupun berdepan kesukaran namun dunia perniagaan tidak boleh ditinggalkan manakala belajar juga pun ada ‘deadline’.

“Saya perlu habiskan PhD dalam masa 3 tahun dan ini merupakan tahun terakhir saya berjuang kerana biasiswa hanya didiberikan untuk tempoh itu,” katanya yang memulakan pengajian PhD bermula 2016.

Pada awal penglibatan menternak kambing, Anas hanya memiliki 36 ekor kambing dan kemudian membiak 2 kali ganda membuatkan dia tidak menang tangan menguruskan ternakan kambing.

“Dulu saya hanya fokus kepada ternakan kambing tapi kini memberi tumpuan kepada khidmat katering dan produk kambing tenusu selain penjualan kambing untuk majlis aqiqah,” ujarnya yang berhasrat untuk membuka cawangan ke-2 di Terengganu.

FMT Ohsem kagum dengan ketekunan semoga menjadi idola kepada generasi muda terus belajar walaupun memiliki kerjaya membanggakan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.