Singapura tak guna matawang kripto sebagai syiling rasmi

Singapura tak guna matawang kripto sebagai syiling rasmi

Penguasa Kewangan Singapura mengeluarkan amaran tentang laman web palsu yang mendakwa republik itu akan menggunakan matawang kripto sebagai syiling rasmi.

Gambar Reuters.
SINGAPURA:
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan laman web palsu yang mengaitkan pelaburan matawang kripto dengan Kerajaan Singapura.

MAS dalam satu kenyataan berkata laman-laman web palsu ini mendakwa Singapura akan menggunakan matawang kripto sebagai syiling rasmi.

“Mereka juga mendakwa sebuah firma sudah dilantik secara eksklusif untuk memasarkan matawang kripto ini,” katanya.

Laman-laman web ini meminta pembaca untuk memberi maklumat peribadi dan kewangan mereka bagi urusan pembelian matawang kripto.

“Ini adalah satu penipuan dan orang ramai harus mengelak daripada mendedahkan sebarang maklumat kewangan atau peribadi kepada aplikasi yang berkaitan dengan laman web seperti itu,” katanya.

Bank pusat Singapura itu juga menasihatkan pelaburan dalam mata wang kripto atau token digital sangat berisiko.

MAS dan Jabatan Hal Ehwal Komersial mengeluarkan beberapa nasihat sejak Disember 2017 bagi memberi amaran kepada orang ramai mengenai risiko-risiko pelaburan sedemikian.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa sesuatu tawaran pelaburan itu mungkin palsu atau disalahgunakan untuk aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang-undang, perlu melaporkan hal tersebut kepada polis, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.