Bekas ahli Parlimen dakwa pegawai kanan Tourism Malaysia terlibat urusan ‘diragui’

Bekas ahli Parlimen dakwa pegawai kanan Tourism Malaysia terlibat urusan ‘diragui’

Wee Choo Keong tertanya bagaimana kerajaan baru bukan sahaja bertolak ansur dengan percanggahan kepentingan.

Wee Choo Keong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas ahli Parlimen mendakwa seorang pegawai kanan Tourism Malaysia dinaikkan pangkat walaupun terlibat dalam urusan “diragui” yang menandakan percanggahan kepentingan.

Wee Choo Keong memberitahu FMT, pegawai itu kini pegang jawatan kanan dalam Tourism Malaysia dan Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Koppema).

Dihubungi oleh FMT, pegawai berkenaan enggan mengulas kerana perkara tersebut dalam siasatan.

“Pada 6 November 2017, syarikat Geeko Tech Sdn Bhd ditubuhkan, dengan pemegang sahamnya seorang wanita dan Koppema,” kata bekas ahli Parlimen Bukit Bintang dan Wangsa Maju itu.

Menurut Wee, pegawai kanan Tourism Malaysia itu juga memainkan peranan penting dalam Koppema ketika itu.

Pada 19 Jan 2018, kata Wee, pegawai tersebut mencadangkan promosi bersama antara Tourism Malaysia, Geeko dan Tencent Holdings.

Merujuk kepada minit mesyuarat Tourism Malaysia, Wee berkata, promosi bersama berpusat kepada pengenalan sistem “SMART Tourism”, platform untuk promosi pamasaran digital, pada harga RM1,167,900.

Katanya, minit itu menunjukkan pegawai tersebut gagal menyatakan Koppema adalah pemegang saham dalam Geeko, di mana dia sebahagian daripadanya.

Kos RM1.16 juta itu dibayar oleh Tourism Malaysia kepada Geeko, katanya.

“Pada masa ini, pegawai Tourism Malaysia ini yang masih memegang jawatan kanan dalam Koppema, yang juga pemegang saham Geeko, telah diletakkan pada kedudukan yang berkuasa dalam Tourism Malaysia.

“Jelas pegawai itu tahu mengenai urusan tersebut. Saya tidak faham bagaimana kerajaan baru bukan sahaja bertolak ansur dengan percanggahan kepentingan ini, malah menganggap dia layak dinaikkan pangkat,” katanya.

Wee menggesa kerajaan menyiasat perkara itu memandangkan ia melibatkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan pentadbiran yang baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.