Salah guna kuasa, 2 pensyarah kanan direman 7 hari

Salah guna kuasa, 2 pensyarah kanan direman 7 hari

2 pensyarah kanan universiti awam cawangan Segamat dipercayai memberikan projek bekalan di universiti itu kepada syarikat milik adik kepada seorang daripada suspek.

SPRM menahan suspek lelaki dan wanita berusia 40-an di kampus mereka pada pukul 2 petang, semalam.
JOHOR BAHRU:
Dua pensyarah kanan sebuah universiti awam cawangan Segamat hari ini direman 7 hari, bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan nilai kira-kira RM25,000.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Datuk Azmi Alias yang mengesahkan perkara itu, berkata Mahkamah Sesyen Segamat membenarkan tahanan reman berkenaan terhadap kedua-dua suspek yang berusia 40-an itu.

Semalam, menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan, ditahan SPRM di kampus mereka pada pukul 2 petang.

Kedua-dua suspek dipercayai menggunakan kedudukan dan jawatan mereka dengan memberikan kerja berkaitan projek bekalan di universiti tersebut kepada sebuah syarikat yang dipercayai milik adik kepada seorang daripada suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.