Ramli kini ‘kuli’ kepada lebih 32,000 ‘bos’

Ramli kini ‘kuli’ kepada lebih 32,000 ‘bos’

Kemenangan Ramli Mohd Nor di Cameron Highlands merupakan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul untuk berkhidmat kepada rakyat.

Ramli Mohd Nor bersama penduduk di Pos Mensun, sehari selepas dipilih sebagai ahli Parlimen Cameron Highlands.
PETALING JAYA:
Pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands baru sahaja melabuhkan tirainya Sabtu lalu, menyaksikan Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) menang bergaya dengan kelebihan 3,238 undi.

Anak kelahiran suku Semai itu bukan sahaja menang besar tetapi mencipta sejarah apabila menjadi wakil rakyat pertama mewakili masyarakat Orang Asli.

Ketika ditemui FMT, Ramli bagaimanapun berkata kemenangan beliau di Cameron Highlands merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu pikul untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bekas pegawai tinggi polis itu berkata, selepas dipilih sebagai ahli Parlimen, tugasnya cukup besar apabila beliau kini mempunyai 32,008 “bos”.

“Dulu bos saya cuma ketua polis negara, timbalan dan pengarah (jabatan), sekarang bos saya ada 32,008. Banyak bos saya. Semua bos saya, sebab mereka yang letak (saya) walaupun saya tahu ada yang tak mengundi saya. Sebagai wakil rakyat saya kena berkhidmat kepada semua tanpa mengira kaum yang berada dalam Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Ramli berkata minatnya dalam bidang politik bermula sejak kecil kerana menganggap tugas itu sesuatu yang mulia untuk mengubah masa depan masyarakat ke arah lebih baik.

“Semenjak pelajar lagi, saya sudah berminat dengan politik, ini kerana tanpa politik, pembangunan tidak boleh dibuat. Siapa yang buat dasar? ahli politik? Jadi bila saya tengok sekeliling masyarakat saya, nak ubah kena ada dasar. Selama ini yang duduk dalam Parlimen dan kerajaan yang buat dasar bukan Orang Asli.

“Sekarang ada Orang Asli dalam Parlimen untuk bercakap agar dasar itu selari dengan kehendak Orang Asli. Jadi daripada situlah mula saya melompat dalam politik. Bila BN beri peluang, saya bersedia,” katanya.

Mahu ubah nasib Orang Asli

Ramli berkata, perkara pertama beliau akan lakukan selain menjaga kebajikan seluruh rakyat Cameron Highlands adalah mahu mengubah nasib Orang Asli yang mendapat pembangunan yang agak perlahan.

Katanya, beliau akan menekan kerajaan pusat atau negeri untuk kelangsungan itu.

“Penduduk Orang Asli yang utama mereka hendak kemudahan jalan raya, pendidikan dan sumber ekonomi, kecemasan dan akses kepada orang lain.

“Kemajuan sesuatu masyarakat berdasarkan kepada pendidikan itu penting, kedua tidak semua pandai akademik, maka kita perlu beri kemahiran.

“Yang paling penting ubah minda daripada masyarakat yang meminta-minta bantuan kepada yang berfikir bagaimana nak majukan diri. Kalau nak dibandingkan dengan dulu, kita nampak perubahan itu ada walaupun perlahan. Sekarang kita lihat ramai Orang Asli dah jadi doktor, jurutera, peguam.

Ahli Parlimen Cameron Highlands baru itu berharap kemenangannya menjadi inspirasi kepada generasi lain, khususnya Orang Asli.

“Mungkin permohonan itu saya boleh bising dalam Parlimen tapi kalau mereka melengah-lengahkan, saya terpaksa minta bantuan kerajaan negeri Pahang di bawah BN.

“Iyalah, sebab mungkin kerajaan Pusat tak bantu tapi pusat pun kena fikirlah sebab mereka (Orang Asli) ini juga rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah antara usaha yang beliau akan ketengahkan adalah mewujudkan pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di perkampungan Orang Asli sepertimana penduduk Felda dan program yang dibuat kerajaan untuk membantu bangsa lain.

Ramli berkata, beliau tidak menganggap kemenangan beliau menjadi wakil rakyat sebagai cabaran besar kerana bidang tugas beliau sebelum ini juga berkhidmat untuk rakyat, cuma yang membezakan kini tidak lagi terikat dengan peraturan.

“Saya tak rasa ada cabaran sebab dulu saya kerja pun berkhidmat untuk rakyat juga (sebagai anggota polis). Sekarang pun sama cuma dulu saya terikat dengan peraturan. Sekarang saya bebas dan kalau tidak puas hati dalam Parlimen boleh bising,” katanya.

Belum putus sertai mana-mana parti BN

Ramli yang merupakan calon langsung BN berkata beliau belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti komponen BN selepas kemenangannya.

“Itu nanti dulu, saya nak duduk dulu, angkat sumpah dulu lepas itu baru buat keputusan, saya sekarang ini ‘freelance’.

Ditanya jika terdapat pihak yang cuba memujuk beliau menyertai parti komponen BN, Ramli berkata perkara itu rahsia.

“Itu rahsia. Itu tak tentu, kita tengok pihak-pihak yang ke sana ke sini, terbang, melompat tidak tentu, tapi bagi saya hati jiwa raga saya, prinsip saya kerana apa ini perjuangan saya, pertama kena ikhlas buat benda, kalau tak ikhlas tak bermakna.

“Kedua kejujuran, ketiga kena ada integriti, kalau ada RM100,000, RM10,000 masuk poket itu tak ada integriti, kejujuran tidak ada, keikhlasan tidak ada,” katanya.

Rakyat bosan janji PH

Ditanya sama ada kemenangan besar BN disebabkan penolakan rakyat terhadap kegagalan Pakatan Harapan (PH), Ramli berkata rakyat sudah muak dengan janji manis parti kerajaan.

“Kalau janji tapi janji itu tidak jadi, janji ini tidak jadi, janji diubahsuai, rakyat marah,” katanya.

Mengulas tuduhan calon PH, M Manogaran bahawa kemenangan BN berpunca daripada isu perkauman yang dimainkan, Ramli berkata parti kerajaan suka memutar belit cerita.

Katanya, jika BN menang hasil daripada isu perkauman, parti itu awal lagi ditolak kerana pengundi yang menyokong terdiri daripada pelbagai kaum.

“Dulu (kata BN menang kerana) isu rasuah dan mereka (PH) bawa ke mahkamah mereka menang adakan PRK ini, sekarang BN menang, mereka kata sebab main isu perkauman kalah juga, jadi dari 3 kali nak jadi 4 kali ke pilihan raya?

“Saya dapat undi 12,038 kepada BN itu bukan Melayu saja, Orang Asli saja. Demografi menunjukkan semua, ada Cina, India dan daripada situ kita boleh tengok dia punya sentimen.

“PH ini mereka selalu sebut lain buat lain, sama juga macam janji manifesto banyak ‘U turn’,” katanya.

Orang Asli bukan senang dibeli

Ramli berkata, persepsi Orang Asli dibayar BN menyebabkan masyarat itu sukar berpaling tadah menyokong PH tidak benar kerana setiap keputusan dibuat berdasarkan rasa ikhlas bukan kerana habuan.

“Mungkin mereka fikir Orang Asli senang dibeli, senang dipujuk, tapi keputusan ini mencerminkan isi hati dia (Orang Asli), bukan imbuhan menjadi keutamaan Orang Asli) sokong BN.

“Saya tengok juga mereka (PH) kempen dengan BN kempen, bila PH buat program semua pakai baju merah, bila BN buat, semua pakai baju biru, akhirnya pemilih yang tentukan mengikut isi hati, boleh pakai mana-mana baju tapi isi hati kita tak tahu,” katanya merujuk kepada sokongan padu masyarat Orang Asli kepada BN tidak berubah.

Mengulas peningkatan undi yang dimenangi PH, Ramli berkata ia hanya bermusim dan yakin masyarakat Orang Asli akan kembali menyokong BN selepas menyedari tertipu dengan janji PH.

“Jika anda (PH) datang bermusim, Orang Asli akan nampak. Orang Asli bukan bodoh, macam sekarang tabur janji manis, cakap macam-macam mereka mungkin terpengaruh tapi selepas ini, anda sanggup berada dengan mereka? Adakah anda sanggup sampaikan kehendak mereka? Kalau sanggup, ok lah, kita tengok pula PRU15. Anda datang dengan janji, selepas itu apa jadi?” katanya.

Ramlijuga berharap kemenangan beliau boleh menjadi inspirasi kepada generasi lain khususnya Orang Asli supaya lebih baik daripada beliau pada masa akan datang termasuklah dipilih menjadi menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.