
Katanya, BN yang diberi tanggungjawab itu juga disaran mempertaruhkan calon mempunyai ketokohan sendiri dan mestilah anak tempatan kerana diyakini 2 faktor itu mampu memberi kemenangan kepada BN dalam PRK itu.
“Pemilihan calon untuk PRK Semenyih belum ditentukan lagi setakat ini dan perkara itu kita serahkan kepada BN untuk menentukan calon mereka.
“Ciri-ciri calon yang akan diketengahkan mestilah mengambil kira kemenangan BN di PRK Cameron Highlands semalam (Sabtu), iaitu mengambil kira ketokohan dan mestilah anak tempatan.
“Pemilihan Ramli Mohd Nor di PRK Cameron Highlands itu dipersetujui bersama (PAS dan BN)….beliau bukanlah seorang pemimpin Umno, tetapi beliau bekas pegawai polis yang tidak terlibat dengan politik dan mewakili umat Islam,” katanya selepas majlis pecah tanah Sekolah Rendah Islam Darul Quran yang turut dihadiri Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, pada Ahad.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada PPBM pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung dan dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala pengundian awal pada 26 Februari ini.
PRK Semenyih adalah PRK ke-4 di Selangor, selepas pilihan raya umum ke-14. Tiga PRK sebelum ini ialah DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.
Mengulas kemenangan BN di Cameron Highlands, Hadi mengakui kerjasama PAS dan BN sebahagian faktor kemenangan itu.
“Ia adalah faktor kerjasama tanpa mengira parti politik dan menolak calon yang tidak sinonim dengan penduduk di kawasan itu,” katanya.