
Wakil Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS), Yusri Ahon berkata, antara punca kegagalan PH adalah kerana mereka gagal menyelesaikan isu melibatkan komuniti Orang Asli.
“Bukan saja isu Orang Asli gagal diselesaikan, tetapi juga isu peneroka dan peladang. PH juga agak lewat dalam mejalin kerjasama dengan pemimpin Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan pemimpin PH yang menyinggung masyarakat Orang Asli juga merupakan antara punca kekalahan parti itu dalam PRK tersebut.
“Kenyataan yang menyinggung masyarakat (Orang Asli), termasuk perbuatan mencabar calon pihak lawan memberi ruang kepada lawan yang hanya perlu mendiamkan diri dan tidak membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang lain dan juga pengundi.
Selain itu katanya, kerjasama erat antara BN dengan PAS juga berjaya memberi keyakinan kepada pengundi supaya mengundi calon BN, Ramli Mohd Nor.
“Bagaimanapun kemenangan BN bukanlah satu kekalahan besar yang boleh melemahkan PH kerana undi (Orang Asli) kepada parti itu juga meningkat. Cuma perlu berusaha lebih lagi, terutama dari segi kebajikan rakyat, jika mahu terus berkuasa, ”katanya.
Dalam pada itu seorang pemimpin Orang Asli tempatan, Bah Long Siang berkata, walaupun Orang Asli ditawarkan pelbagai tawaran oleh PH, tetapi sokongan kepada BN tidak berubah dan kesemua peti undi Orang Asli disapu bersih oleh parti itu.

“Saya yakin sokongan masyarakat Orang Asli kepada BN adalah kerana banyak jasa parti itu dan tidak berubah. BN sapu bersih semua peti undi Orang Asli.
“Masyarakat Orang Asli sudah tahu bahawa PH adalah kerajaan yang ‘menipu’ rakyat dan tiada hala tuju untuk masa depan rakyat. Segala hak keistimewaan Bumiputera sudah mula tergugat. Kerajaan sekarang juga tidak pandai cari duit,” katanya kepada FMT.
Bah Long berkata, kemenangan BN merupakan titik permulaan kebangkitan semula Umno dan BN.
“Ramli telah mencipta sejarah menjadi ahli Parlimen pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli. Ini membuktikan sokongan semua pihak terhadap calon BN masih kuat,” katanya sambil memberi tahu kerjasama BN dan PAS juga membantu meningkatkan lagi sokongan Orang Asli.
Beliau turut menolak tuduhan calon PH M Manogaran sebelum ini bahawa kekalahan parti itu adalah disebabkan BN dan PAS memainkan isu perkauman.
“PH sendiri tak betul, kenapa nak tuduh BN menang dengan isu perkauman. Bagi saya isu perkauman tidak timbul di PRK Cameron Highlands, kalau isu perkauman dimainkan takkan Orang Asli sokong BN,” katanya.
BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar menerusi kemenangan pertama dalam PRK selepas pilihan raya umum lalu, dengan calonnya, Ramli Mohd Nor mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bekas pegawai kanan polis itu mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.
Majoriti 3,238 undi yang diperolehi BN semalam adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaitu 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi.
Ini juga adalah kekalahan ke-3 berturut-turut Manogaran di Cameron Highlands sejak pilihan raya umum ke-13.