‘Kami dibiarkan tergantung,’ kata Indira, setahun selepas menang di mahkamah

‘Kami dibiarkan tergantung,’ kata Indira, setahun selepas menang di mahkamah

Sewaktu menaiki pelamin pada 1996, tidak terbayang di fikirannya bahawa kehidupan beliau akan menjadi porak-peranda kerana mengahwini Ridhuan, yang pada waktu itu dikenali dengan nama K Pathmanathan.

Indira Ghandi masih menyimpan harapan untuk bertemu Prasana walaupun menyedari anak perempuannya itu mungkin tidak mengingatnya sama-sekali. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Masalah M Indira Ghandi jauh daripada selesai setahun selepas beliau menang kes mahkamah terhadap Muhammad Ridhuan Abdullah berhubung hak penjagaan ke atas 3 anak mereka.

Selain merindui anak bongsunya, yang tidak diserahkan oleh Ridhuan, Indira kehabisan wang dan sukar mendapat pekerjaan baru. Beliau mendakwa ini kerana bakal majikan keberatan mengambil pekerja yang diselubungi kontroversi selama 9 tahun.

Beliau kini bankrap kerana gagal melunaskan pinjaman kereta, yang menurutnya berpunca daripada  Ridhuan.

Indira berkata, Ridhuan membeli sebuah kereta Proton Wira dengan menggunakan namanya semasa mereka masih berkahwin dan selepas itu melupuskannya.

Dalam temu bual terbaru dengan FMT, Indira juga berkata, beliau tidak menerima wang nafkah atau apa-apa juga bentuk wang sokongan anak-anak. Beliau juga tertanya-tanya sama ada Ridhuan telah berkahwin semula.

“Mungkin dia (Ridhuan) ada keluarga baru sekarang, tetapi bagaimana dengan saya dan keluarga saya? Kami dibiarkan tergantung.”

Sewaktu menaiki pelamin pada 1996, tidak terbayang di fikirannya bahawa kehidupan beliau akan menjadi porak-peranda kerana mengahwini Ridhuan, yang pada waktu itu dikenali dengan nama K Pathmanathan.

Walaupun majlis perkahwinan mereka sangat sederhana menurut adat Hindu dan diraikan hanya oleh kaum keluarga dan rakan-taulan, Indira gembira kerana percaya beliau memasuki kehidupan baru penuh cinta dan kegembiraan yang akan berkekalan.

Namun, 13 tahun kemudian dan hanya beberapa bulan selepas kelahiran anak ketiga mereka, Prasana Diksa, tekanan beban kewangan mula memberi kesan ke atas hubungan mereka dan Pathmanathan kemudiannya keluar rumah untuk tinggal bersendirian.

Indira percaya masalah kewangan mereka berpunca daripada keadaan Pathmanathan yang kerap bertukar kerja.

Perpisahan itu tidak bermakna beliau memutuskan hubungan dengan keluarganya. Pada suatu hari, Pathmanathan mendekati Indira dan mencadangkan mereka meninggalkan agama Hindu dan memeluk agama lain, kata Indira.

“Pada mulanya beliau memilih agama Kristian, tetapi apabila menjangka memeluk agama itu tidak akan memberikan apa-apa kepada mereka, beliau mencadangkan mereka memeluk agama Islam bagi membolehkannya mendapat keistimewaan yang dapat membantu meringankan masalah kewangan kami.”

Indira berkata, beliau memberitahu Ridhuan bahawa beliau lebih bersedia menerima apa-apa juga pemberian wang yang dipunyainya daripada meninggalkan agama Hindu.

Ridhuan kemudiannya memeluk agama Islam pada Mac 2009, sekali gus menukar namanya. Sebulan selepas itu, beliau mengatur pengislaman 3 anak mereka dan berjaya mendapatkan hak penjagaan kesemua anak itu daripada Mahkamah Syariah.

Peguam Ridhuan, Hatim Musa, enggan mengesahkan dakwaan Indira tentang sebab Ridhuan memeluk agama Islam.

“Sebab beliau memeluk agama Islam terserah kepada dirinya,” katanya kepada FMT. “Saya tak ada komen. Keadaan mungkin berbeza sekiranya ada perkembangan baru dalam kes ini. Keputusannya telah dimuktamadkan.”

Hatim merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada Januari 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010 yang menyanggahi keputusan Mahkamah Syariah dengan memberikan hak penjagaan kepada Indira. Mahkamah tertinggi itu juga memutuskan bahawa pemelukan agama secara unilateral adalah tidak sah.

Ridhuan memelihara Prasana sejak anak itu berusia 11 bulan, iaitu selepas beberapa minggu beliau memeluk agama Islam.

Menurut Indira, beliau melarikan Prasana dengan menaiki motosikal selepas menyerang beliau, ibu dan adik-beradiknya.

Pada waktu itulah beliau membuat laporan polis menyatakan beliau diberi sekeping surat yang memaklumkan anak mereka telah diislamkan.

Dari situ, maka bermulalah perjuangan hebat beliau di mahkamah.

Sokongan moral daripada mana-mana pihak bukanlah sesuatu yang mudah diperolehi sepanjang 9 tahun beliau keluar-masuk dewan mahkamah, katanya.

Kadang-kadang katanya, beliau berdepan pandangan serong pihak yang mungkin beranggapan beliau menyerang agama Islam.

Indira masih menyimpan harapan untuk bertemu Prasana walaupun menyedari anak perempuannya itu mungkin tidak mengingatnya sama-sekali.

“Ia pasti mengejutkan,” katanya, menahan sebak dan air mata. “Saya tidak tahu bagaimana rupanya. Saya juga tidak tahu sama ada dia bersekolah atau tidak.”

Anak sulung Indira, Tevi Darsiny, kini berusia 22 tahun. Beliau mengikuti kursus Rekabentuk Keputusan di sebuah universiti tempatan di bawah pinjaman PTPTN.
Pinjaman itu diberikan semasa beliau memasuki semesta kedua pada 2017, selepas gagal mendapatkannya sebelum itu kerana masalah dokumentasi tidak lengkap.

Tevi memberitahu FMT bahawa beliau berazam membantu ibunya keluar daripada masalah kewangan.

Beliau bercerita tentang perasaannya membesar dalam keadaan mencemburui kawan-kawan yang mempunyai ayah menyokong mereka.

“Melihat ibu-bapa anda berpisah benar-benar meruntun jiwa,” katanya. “Dulu kami sebuah keluarga yang gembira.”

Beliau juga berharap untuk bertemu semula dengan adik bongsunya, walaupun hanya untuk satu hari.

“Jika saya bertemunya, saya mahu meminta maaf kerana tidak berdaya untuk berbuat apa-apa bagi menghalang keluarga kami daripada melalui semua kesusahan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.