Abang Johari: Sarawak teguh pertahan hak

Abang Johari: Sarawak teguh pertahan hak

Kejatuhan sesebuah kerajaan biasanya berpunca daripada ketiadaan integriti dalam kalangan pemimpin.

Ketua Menteri, Abang Johari Openg (kiri) dalam sesi pertemuan dengan penduduk, semalam.
KUCHING:
Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Openg berkata, rakyat Sarawak akan teguh mempertahankan hak dan keistimewaan mereka.

Beliau menegaskan mereka tidak akan mengalah semata-mata kerana jawatankuasa pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberikan tempoh 6 bulan untuk menyiapkan laporan akhirnya.

“Hanya rakyat Sarawak berhak menentukan hak dan masa depan Sarawak,” katanya dalam satu sesi pertemuan dengan penduduk anjuran Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, semalam.

“Bagi saya, tempoh 6 bulan itu tidak cukup, terutama sekali kerana adanya perkara baru yang ditimbulkan dalam mesyuarat itu. Kita lihat bagaimana perkembangannya,” kata beliau.

Terdahulu Abang Johari juga menekankan kepentingan integriti dalam kalangan pemimpin GPS.

Beliau berkata, kejatuhan sesebuah kerajaan biasanya berpunca daripada ketiadaan integriti dalam kalangan pemimpinnya.

Meminta sumbangan atau wang sebagai balasan kerana berkhidmat kepada parti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan dianggap sebagai satu bentuk rasuah, katanya.

“Itu bukan perjuangan politik.

“Kita berjuang untuk pembaikan negeri dan rakyat,” katanya, dengan menambah bahawa melalui GPS, pemimpin mampu menyediakan kehidupan lebih baik untuk rakyat.

Kata beliau, rakyat memberi mereka mandat untuk mendapatkan semula hak yang terhakis selepas 55 tahun berada dalam persekutuan Malaysia.

“Kita mahu melindungi hak kita. Justeru kita telah menetapkan 4 isu yang tidak boleh dirunding iaitu autonomi dari segi imigresen, hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri berdasarkan perlembagaan persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan ke atas lautan, bawah tanah dan sumbernya di negeri ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.