Royalti minyak, pembalakan 2 perkara berbeza, Azmin beritahu Mohd Amar

Royalti minyak, pembalakan 2 perkara berbeza, Azmin beritahu Mohd Amar

Kerajaan Persekutuan telah menyatakan akan akur kepada peruntukan undang-undang mengenai pembayaran royalti minyak.

Menteri Hal-ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, royalti minyak mesti dibuat dengan persetujuan kedua-dua pihak, iaitu kerajaan persekutuan dan negeri, bukan secara unilateral.
AMPANG:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengkritik Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan berkata, isu pembayaran royalti minyak dan pemberhentian aktiviti pembalakan merupakan 2 perkara berbeza.

Menteri hal-ehwal ekonomi itu berkata, kerajaan persekutuan telah menegaskan sebelum ini bahawa ia akan akur kepada peruntukan undang-undang mengenai pembayaran royalti minyak.

Azmin berkata, ini berbeza dengan kegiatan pembalakan yang melibatkan alam sekitar yang perlu dipulihara oleh semua negeri, termasuk Kelantan.

“Sementara kita mahu negeri itu dibangunkan, tetapi persekitaran mesti dijaga. Ini 2 perkara yang berbeza.

“Dia (Mohd Amar) tak boleh kata kalau ada kelewatan atau kegagalan pembayaran royalti, maka negeri akan dirosakkan. Ini kita tidak benarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini, hari ini.

Terdahulu majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan berkata ia bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan sekiranya kerajaan persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Mohd Amar berkata, pembayaran royalti yang dianggarkan berjumlah RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan, berbanding hasil sebanyak RM100 juta setahun yang dikutip daripada aktiviti pembalakan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, jumlah pemberian royalti minyak adalah tertakluk kepada jumlah pengeluaran minyak di negeri berkenaan dan ia akan ditentukan oleh Petronas.

Beliau turut berkata, sebelum ini kerajaan persekutuan membayar royalti minyak dan gas kepada kerajaan Terengganu dan Kelantan pada kadar 5% daripada hasil.

“Tetapi dalam manifesto (pilihan raya umum Pakatan Harapan) kita janji akan tingkatkan kepada 20%, tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan negeri. Perbincangan ini sedang berjalan.

“Kalau kita lihat Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), pembayaran tunai atau biasanya disebut sebagai royalti mesti dengan persetujuan kedua-dua pihak, iaitu kerajaan persekutuan dan negeri…bukan secara unilateral,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.