Kementerian Pertahanan prihatin, komited jaga kebajikan veteran tentera

Kementerian Pertahanan prihatin, komited jaga kebajikan veteran tentera

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM di bawah Kementerian Pertahanan berkata, jabatan itu masih menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada golongan berkenaan.

Dzulkarnain Ahmad berkata, JHEV ATM akan memantau dan memberi bantuan kepada veteran tentera melalui sokongan serta bantuan kepada persatuan yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) di bawah Kementerian Pertahanan menolak dakwaan sebuah persatuan veteran tentera yang kerajaan meminggirkan golongan itu dengan berkata, ia sentiasa menitikberatkan kebajikan dan komited meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, kerajaan melalui jabatannya terus menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada veteran tentera, termasuk Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.

“(Mesyuarat) Majlis Veteran Kebangsaan yang julung kali diadakan pada 24 Disember 2018 dan yang akan datang pada Februari ini adalah platform membincangkan permasalahan, rancangan masa depan dan idea-idea baru untuk kebaikan veteran ATM.

“Mana-mana veteran yang masih mempunyai permasalahan atau perkara ingin disuarakan perlulah menyampaikannya melalui saluran betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas desakan Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) semalam yang mahu kerajaan mengisytiharkan pelan dan inisiatif untuk menambah baik kebajikan serta kehidupan golongan itu yang didakwa dipinggirkan kerajaan terdahulu.

Pengerusi GRVATM, Azizan Salleh dilaporkan berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi menggunung kepada kerajaan baru menerusi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk menangani beberapa isu berkaitan kebajikan mereka, balu dan anak.

Terdapat lebih 200,000 pesara tentera ketika ini.

Hari ini, Dzulkarnain berkata, JHEV ATM akan memantau dan memberi bantuan kepada veteran tentera melalui sokongan serta bantuan kepada persatuan yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.

“Sebarang permasalahan perlu disampaikan kepada JHEV ATM, sama ada melalui cawangan JHEV negeri ataupun persatuan veteran yang sah.

“Kementerian Pertahanan menyeru semua veteran ATM berdaftar dengan persatuan sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat,” katanya yang berjanji akan berusaha membantu veteran tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.