
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, kemenangan itu turut dipengaruhi faktor lain, termasuk jentera BN yang mantap dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Saya juga melihat banyak faktor lain, terutamanya sehari, dua sebelum pembuangan undi, Yang di-Pertuan Agong telah diumumkan ialah Sultan Pahang.
“Saya rasa itu juga memberi kesan kepada rakyat untuk menyokong calon BN yang mana kerajaan negeri adalah kerajaan BN,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan kelebihan 3,238 undi, majoriti tertinggi sejak pilihan raya umum 2008 sebanyak 3,117 undi.
Calonnya, Ramli Mohd Nor turut mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.
Kerjasama BN-PAS
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama Umno dan PAS membawa makna besar kepada BN yang menang besar dalam undi Melayu dan Orang Asli.
Beliau berkata, kemenangan hari ini juga jelas menunjukkan kebangkitan rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menjaga kebajikan rakyat dan mentadbirkan negara dengan baik.
“Keputusan ini merupakan ‘referendum’ rakyat menolak kerajaan PH. Rakyat sudah jelak dengan kerajaan PH yang tak habis-habis fitnah dan menyalahkan kerajaan BN, namun gagal menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, sedangkan kos komoditi terus menurun.
“Walaupun mereka berjanji di Cameron Highlands, namun rakyat sudah tidak mempercayai janji PH kerana kegagalan mereka menunaikan janji PRU14.”
‘Moral booster’
Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kemenangan hari ini ialah “moral booster” untuk BN selepas mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan 4 PRK sebelum ini.
“Kemenangan ini dijangkakan atas sumbangan 2 faktor, iaitu pilihan calon dan kerjasama yang bermakna dengan PAS. Inilah kali pertama kita ada kerjasama antara 2 jentera dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat atas,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PAS membantu kempen BN di Cameron Highlands.
“(Ia juga disebabkan) pilihan calon Orang Asli. Hari ini Malaysia menempah sejarah dengan adanya ahli Dewan Rakyat pertama daripada kaum Semai.”
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan kemenangan BN membuktikan sikap dan pendekatan inklusif parti itu yang mengakui sumbangan setiap kaum dalam negara ini.
“Kelayakan Ramli dari segi tahap pendidikan dan pengalaman membuktikan keberkesanan dasar pembangunan insan inklusif BN,” katanya kepada FMT menerusi aplikasi WhatsApp.