Johor: Pembangkang beri alasan ‘budak-budak’ sebab BN menang, kata Tok Mat

Johor: Pembangkang beri alasan ‘budak-budak’ sebab BN menang, kata Tok Mat

Kemenangan BN di Johor disebabkan parti itu berjaya mengerahkan penyokong mereka keluar mengundi berbanding lawan yang tidak bermaya mengerakkan penyokong mereka.

Barisan Nasional (BN) berjaya membawa keluar penyokong mereka keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, manakala pembangkang gagal berbuat demikian, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peratusan keluar mengundi rendah yang dikatakan menjadi pendorong kemenangan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya dijadikan alasan parti lawan tewas, pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kemenangan BN di Johor kerana parti itu berjaya mengerahkan penyokong keluar mengundi, berbanding lawan yang tidak bermaya menggerakkan penyokong mereka.

“Ada pula orang kata kita (BN) menang kerana orang tak datang (pengundi keluar rendah), menang adalah menang, kalah adalah kalah, apa nak cakap, Umno keluarkan kita punya pengundi (putih).

“Orang kamu yang tak mahu keluar undi, itu kamu punya pasal lah. Apa pula kata Umno menang sebab tak ramai keluar, kalau nak ramai kamu keluarlah kamu punya pengundi, ada pula cakap (alasan) begitu.

“Kalau nak menang keluar la pengundi masing-masing, terimalah (kekalahan) kami dulu terima (kekalahan), kita kalah 2018 kita terima, tak kata pula matahari tak terbit laut tak pasang, ini macam budak-budak (alasan), tapi memang budak-budak pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, malam tadi.

Mohamad bagaimanapun mengingatkan ahli Umno, kemenangan parti itu di Melaka dan Johor bukan tiket untuk parti berasa selesa kerana ujian sebenar ialah memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ada medan tempur yang lebih besar peperangan sebenar, itu keutamaan kita, jadi jangan lupa, jangan alpa, jangan kita sudah selesa terbuai dengan segala kita capai selama ini, kerana pencapaian sebenar yang kita nak dapatkan ialah semasa PRU nanti,” katanya.

PRN Johor, Sabtu lalu, menyaksikan 54.92% jumlah keluar mengundi.

Daripada jumlah itu, BN mendahului undi popular dengan meraih 599,753 undi atau 43.11%. Ia diikuti Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 334,457 undi atau 24.04% dan Pakatan Harapan (PH) dengan 284,969 (20.48%) undi.

PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri pada kali ini memperoleh 82,556 undi atau 5.93%, manakala MUDA buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya memperoleh 48,072 atau 3.46% undi.

Sementara itu, Pejuang pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34%, Bebas dengan 10,007 (0.72%) undi, Warisan (6,523 atau 0.47%) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35%) undi. Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07%) undi dan Putra dengan 247 atau 0.02% undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.