Wakil PBB gesa kerajaan negeri sokong masyarakat Dayak

Wakil PBB gesa kerajaan negeri sokong masyarakat Dayak

Perjuangan masyarakat Dayak konsisten dengan Deklarasi PBB Mengenai Hak Orang Asli, Majlis Orang Asal Dunia dan konvensyen PBB lain yang mengiktiraf hak penduduk pribumi.

Andrew Ambrose (kanan) bersama-sama bekas ketua provinsi Pontianak Cornelius Kimha (kiri) dan ketua bahagian undang-undang provinsi Bengkayang, Parmane Dayak Kanaytn Damianus.
KOTA KINABALU:
Wakil tetap masyarakat Dayak ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak menyokong usaha pemulihan msyarakat itu sebagai penduduk pribumi Kepulauan Borneo.

Andrew Ambrose, yang berasal dari Tambunan di pedalaman Sabah, mencadangkan kerajaan 2 negeri itu mencontohi kerajaan Kalimantan dalam perkara itu.

“Perjuangan kita konsisten dengan Deklarasi PBB Mengenai Hak Orang Asli (Undrip), Majlis Orang Asal Dunia dan konvensyen PBB lain yang mengiktiraf hak penduduk pribumi.

“Kerajaan Sabah dan Sarawak bertanggungjawab menyokong kami. Kerajaan Kalimatan akur dan telah menunjukkan caranya,” kata beliau kepada FMT.

Ambrose, yang juga dikenali sebagai Atama berkata, beliau sedih dengan dakwaan bahawa kumpulan beliau, iaitu Forum Dayak Borneo (BDF) tidak mendapat sokongan maupun dihormati masyarakat Dayak di Borneo.

Sebaliknya kata beliau, BDF merupakan satu-satunya kumpulan yang mencapai kejayaan dalam menyatukan masyarakat itu dan kini mempunyai wakil tetap di PBB.

Ambrose dilantik ke jawatan itu oleh Persidangan Temenggung Antarabangsa yang bermesyuarat pada November tahun lepas. Tugas beliau ialah memperjuangkan hak kekal masyarakat Dayak sebagai penduduk pribumi.

Hak ini dilindungi di bawah Undrip 2007.

Ambrose juga menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak memberikan peruntukan khas sebanyak RM200,000 untuk menghantar delegasi bersama orang Dayak ke Persidangan Napak Tilas Tumbang Anoi yang dijadualkan pada Jun depan di Gunung Mas, Kalimantan tengah.

Persidangan itu yang dianjurkan Provinsi Kalimantan Tengah akan merangkumi dialog mengenai Perjanjian Damai Tumbang Anoi yang menamatkan perang pemburu kepala dan perhambaan dalam kalangan orang Dayak pada 1894.

“Kami juga mahu mengongsi berita mengenai langkah ke depan supaya hak kami untuk menentukan nasib sendiri diiktiraf oleh kerajaan.

“Ini termasuklah hak politik dan sosial kami sebagai penduduk pribumi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.