
Low Tek Jho, yang lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, berdepan pertuduhan jenayah di Malaysia dan Amerika Syarikat berikutan peranan beliau berhubung dakwaan mencuri kira-kira AS$4.5 bilion daripada 1MDB, sebuah dana pelaburan kerajaan yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Polis mencari maklumat mengenai keberadaan bapa Jho Low, Low Hock Peng; ibunya, Goh Gaik Ewe dan 2 individu lain bagi membantu penyiasatan 1MDB, kata Ketua Pois Negara, Tan Sri Fuzi Harun dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihak berkuasa memfailkan pertuduhan pengubahan wang terhadap Jho Low dan bapanya pada Ogos 2018.
Jho Low menafikan sebarang salah laku. Keberadaan beliau dan ibu bapanya juga tidak diketahui.
Jurucakap Jho Low tidak memberi respons ketika diminta memberi komen.
Dua individu lain yang turut dicari oleh polis ialah wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri dan warga Malaysia, Tan Kim Loong, seorang sekutu Jho Low.
Mereka berdua tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.
Tan sebelum ini didakwa bersama-sama Jho Low atas pertuduhan pengubahan wang di Malaysia, dan dinamakan sebagai pemain utama dalam satu saman sivil AS yang bertujuan merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan menggunakan dana 1MDB yang dicuri.
Pihak berkuasa di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura menyiasat dakwaan pengubahan wang dan rasuah berkaitan 1MDB.
Najib, yang menubuhkan dana pelaburan itu pada 2008, tewas dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas.
Perdana menteri baru, pemimpin veteran Tun Dr Mahathir Mohamad, membuka semula penyiasatan 1MDB dan penglibatan Najib dalam dana itu.
Najib berdepan hampir 40 pertuduhan jenayah berkait kerugian 1MDB dan entiti kerajaan lain. Beliau menafikan sebarang salah laku.