
“Saya tidak tahu sama ada Abdul Razak Baginda atau Najib Razak,” kata Shaariibuu Setev apabila disoal peguam Ramkarpal Singh.
Masa itu, katanya, dia tidak tahu bagaimana rupa “Razak”.
Shaariibuu, profesor bersara dari Mongolian National University berkata, Altantuya berjumpa dengannya beberapa hari sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
Katanya, ketika bersembang, Altantuya pergi ke bilik air. Masa itu beliau buka beg Altantuya dan jumpa gambar anaknya bersama 2 lelaki.
Apabila Altantuya kembali dari bilik air, katanya, beliau bertanya siapa 2 lelaki tersebut.
“Dia beritahu saya mereka itulah yang dia nak jumpa di Malaysia,” kata Shaariibuu.
Beliau berkata, Altantuya juga memberitahunya dia ke Kuala Lumpur untuk bertemu kekasihnya, Razak Baginda, yang dikatakan “orang besar”, dan juga dapatkan wang untuk bayar kos perubatan anak Altantuya yang kurang upaya.
Beliau juga menjumpai tiket penerbangan dibeli oleh Razak Baginda dan resit barang kemas bernilai kira-kira RM11,300, yang dikatakan dibeli oleh orang yang sama.
Beliau juga jumpa surat bertarikh 2 Mac 2006 daripada Razak Baginda, menyatakan dia sudah memindahkan AS$18,000 kepada Altantuya.
Shaariibuu berkata Altantuya juga dikenali sebagai Amina, tetapi tiada maklumat lanjut diberi dalam kenyataan saksi yang dibaca melalui seorang jurubahasa Mongolia.
Shaariibuu, 69, saksi kedua dalam kes saman sivil tersebut memberitahu, anaknya bekerja sebagai seorang penterjemah bebas dan fasih berbahasa Rusia.
Altantuya dibunuh pada 2006 di kawasan hutan Puncak Alam, dekat Shah Alam, Selangor. Dia ditembak di kepala dan tubuhnya diletupkan.
Dua orang polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, yang menjadi pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak, didapati bersalah kerana membunuh Altantuya dan dikenakan hukuman mati.
Razak, pembantu Najib ketika itu, didakwa bersubahat dengan kedua orang polis tersebut tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Bapa Altantuya, isterinya, Altantsetseg Sanjaa, dan anak Altantuya, Mungunshagai, menamakan Razak, kerajaan, Sirul dan Azilah sebagai pihak membela diri.
Keluarga tersebut mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhan Altantuya dan menuntut RM100 juta kerosakan, termasuk tuntutan tanggungan.
Perbicaraan bersambung Isnin ini di depan hakim Vazeer Alam Mydin Meera.