
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, siasatan berhubung perkara itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat masa ini.
“Buat masa sekarang oleh kerana SPRM telah memulakan siasatan saya fikir lebih baik kita benarkan proses itu berlaku dulu. Jika masa hadapan nanti kalau ada keperluan untuk kami berbuat demikian kami tidak menolak kemungkinan.
“Buat masa sekarang lebih baik kita dahulukan SPRM sebagai satu institusi penting dalam cabang demokrasi negara, biar dia tunaikan tanggungjawab dia dulu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap anak kepada seorang pegawai kanan di SSM kerana dipercayai terbabit dalam skandal projek membabitkan SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta.
Pembabitan individu berusia 20-an itu terbongkar selepas serbuan dilakukan SPRM di 3 syarikat dan di Menara SSM, 14 Januari lalu.
Satu daripada syarikat yang diserbu itu didakwa mempunyai kaitan dengan anak pegawai kanan berkenaan.
Saifuddin berkata, kementeriannya akan memastikan SSM memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dibuat SPRM itu.
Katanya, KPDNHEP membuka ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan terhadap agensinya itu berdasarkan peraturan dan bidang kuasa yang ditetapkan.
“Tidak akan ada sebarang halangan daripada saya kerana itu adalah bidang tugas SPRM dan kita juga akan ikut memastikan SSM akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan mereka.
“Saya juga berharap agar SPRM dalam menjalankan tugas ini akan juga menghormati peraturan-peraturan dan bidang kuasa akan dapat diikuti dan dihormati,” katanya.
9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai membabitkan dakwaan skandal projek SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta di ibu pejabat SSM.
Semua dokumen itu dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus yang diperkatakan sebelum ini, kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.
Susulan itu, 2 kotak lagi mengandungi 71 dokumen turut dirampas SPRM pada 11 Januari lalu.
Pada 22 Januari, individu berusia 20-an itu dilihat hadir ke SPRM bagi menyerahkan dokumen berkaitan siasatan ke atas SSM.
Menurut sumber, lelaki itu diminta hadir untuk menyerahkan dokumen berkaitan siasatan kerana disyaki ada bukti yang cuba disembunyikan hasil siasatan.