
Pakaian terpakai atau lebih popular dipanggil ‘bundle’ mempunyai pembelinya tersendiri di Malaysia.
Malah, kini kita melihat lambakan perniagaan berasaskan ‘bundle’ hampir di mana-mana termasuk pusat beli-belah mewah.
Walaupun ada yang menganggap ia pakaian sudah dipakai oleh orang yang tidak dikenali tetapi kerana kualiti, keadaan kain yang masih baik, murah dan berjenama, ada sahaja pelangan yangg tertarik untuk memilikinya.
Tidak kurang mereka yang mahu menyimpan sesetengah pakaian atau aksesori seperti kasut dan beg sebagai koleksi vintaj.

Menariknya, ekoran permintaan yang terus meningkat, ramai peniaga ‘bundle’ menggunakan platform media sosial untuk menjual barangan mereka secara ‘live’ atau sambil bersiaran langsung.
Bagi Ahmad Syahir Zamri, 30, ia adalah cara paling mudah kerana tidak perlu menyewa kedai dan hanya menggunakan ruangan bilik untuk membuat Facebook ‘live’ untuk menjual.
“Berniaga barangan ‘bundle’ di Facebook ‘live’ merupakan trend popular di Thailand sejak dahulu lagi dan menjadi ikutan penjual bundle di Kelantan sekarang.
“Saya memilih untuk berniaga ‘bundle’ di Facebook ‘live’ sepenuh masa kerana mempunyai seorang anak yang istimewa untuk dijaga di rumah. Walaupun sudah menjadi usahawan ‘bundle’ sejak 7 atau 8 tahun tetapi baru 2 tahun lebih menggunakan platform media sosial.
“Hanya 3 jam, saya sudah boleh menjual semua topi terpakai ini secara Facebook ‘live’ kepada orang ramai dan memperoleh pulangan lebih RM1,000,” katanya kepada FMT Ohsem.
Merujuk kepada topi yang dijual, Syahir akui ia terdiri daripada pelbagai jenama terkenal di dunia sehinggakan pelanggan sanggup membuat taruhan untuk membelinya .

“Topi paling murah yang dipertaruhkan berharga RM5 dan paling mahal adalah RM1,000 bergantung kepada orang yang mahukan topi tersebut. Pelanggan saya bukan sahaja terhad kepada orang Malaysia malah dari luar negara seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Australia dan Amerika.
“Saya akan terangkan mengenai topi yang dijual, dan mereka akan mula membida harga. Harga paling tinggi untuk topi tersebut akan dikunci dan menjadi milik mereka,” kata Syahir.
Manakala Mohd Yufaizal Mohd Yusoff, 31, dia sedang mencuba-cuba dengan strategi perniagaan ‘live’ di Facebook sejak setengah tahun yang lalu.
Pendekatan ini katanya membolehkan dia memperoleh RM2000 dalam masa 4 jam walaupun wang yang dilabur untuk membeli barangan secara pukal hanya bernilai RM700.
“Saya hanya berniaga sekali seminggu, itupun selepas waktu Isyak kerana pada waktu tersebut sudah ramai orang pulang dari kerja,” katanya.
Walaupun menggunakan dialek Kelantan, ramai pelanggan dari seluruh Malaysia yang terus aktif sepanjang sesi untuk membeli baju yang dijual.

“Baju bundle yang dijual adalah daripada pelbagai jenama terkemuka tetapi dijual pada harga pasaran yang sangat murah secara ‘live’,” jelasnya.
Yufaizal juga akui operasi perniagaan ‘bundle’ secara ‘live’ amat mudah dan tidak melecehkan kerana tidak perlu menyewa kedai atau membayar utiliti, cuma sekadar perlu mengepos atau menghantar sendiri barangan yang ditempah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]