Menyambut cadangan anaknya, Fuziah Ahmad, mempelajari cara-cara membuat kuih bakul atau ‘nian gao’, yang selalunya hanya terdapat ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Kini, sama ada musim perayaan atau tidak, suri rumah berusia 55 tahun itu sentiasa sibuk memenuhi tempahan pelanggan.
Segalanya bermula selepas anaknya Abdul Hadi Ahamad, 27, menikmati ‘nian gao’ yang dihidangkan ketika mengunjungi rumah rakannya Louis Yuen Shen, 27, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kira-kira 8 tahun lalu.
Itulah pertama kali Abdul Hadi menjamah ‘nian gao’, dan mendapati kuih manis yang agak kenyal itu sangat enak. Bagaimanapun, beliau sedikit kecewa apabila mengetahui bahawa kuih itu ‘bermusim’ dan hanya boleh didapati ketika Tahun Baharu Cina.
Oleh kerana terlalu inginkan nian gao dan tahu bahawa ibunya memang gemar memasak makanan tradisional, Abdul Hadi mencadangkan agar ibuya ‘berguru’ dengan nenek Louis.
“Dua tahun lalu, kami berdua ke rumah Louis untuk mempelajari cara-cara memasak kuih bakul. Tidak sangka resepinya sangat mudah dan kami membuat keputusan untuk mencubanya di rumah, menggunakan resipi yang diberikan oleh neneknya, dan sedikit sebanyak merujuk video Youtube,” kata Fuziah kepada Bernama.
‘Lulus’ cubaan pertama

Beliau yang memang gemar mencuba resipi baharu memberitahu bahawa pada mula cuba memasak nian gao sekadar memenuhi keinginan anak ketiganya itu.
“Lagipun bahan-bahan membuat kuih bakul mudah dan kuih ini bermusim, jadi saya cuba masak untuk suka-suka dan sekadar mengisi waktu lapang di rumah.
“Tetapi, bila anak membawa kuih bakul hasil air tangan saya kepada rakan-rakannya, tidak sangka mereka sangat menyukainya dan mencadangkan supaya membuka tempahan, “ kata Fuziah yang berasal dari Kapar, Selangor.
Beliau menghasilkan 2 saiz kuih bakul iaitu seberat 350 gram yang dijual dengan harga RM11 setiap satu dan saiz 800 gram pula RM22.
Bagi menghasilkan kuih bakul saiz 350 gram, bahan-bahan utama yang diperlukan adalah tepung pulut 135 gram, gula kasar 108 gram, gula merah 27 gram dan air 115 ml.
Kesemua bahan-bahan itu dicampur dan digaul menjadi adunan selama kira-kira 30 minit atau sehingga gula itu larut, sebelum dibiarkan selama 30 minit lagi untuk adunan itu sejuk dan sebati.
“Langkah ini perlu bagi mengelakkan adunan itu berbuih dan tidak rata selepas dikukus,” katanya lalu menambah bahawa adunan perlu diletakkan ke dalam bekas sebelum dikukus selama 10 hingga 12 jam untuk menghasilkan kuih bakul yang enak.
“Tempoh mengukus yang lama penting bagi mengelakkan adunan itu terlalu melekit,” tambah beliau.
Ibu kepada 5 orang anak yang sudah dewasa ini berkata walaupun proses menghasilkan kuih bakul memakan masa yang panjang, beliau bersyukur kerana dibantu oleh Abdul Hadi yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di peringkat doktor falsafah.
Sementara itu Abdul Hadi berkata, “Masa yang diluangkan untuk memasak kuih bakul secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga,” kata Abdul Hadi.
Tidak tahu pantang larang
Menurut Fuziah, semakin hari kuih bakul yang dimasaknya mendapat sambutan menggalakkan daripada anggota keluarga dan rakan-rakan mereka.
“Kami sebenarnya tidak tahu pantang-larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina ketika membuat kuih bakul, kami hanya ikut resipi turun-temurun yang diberikan nenek Louis, dan mengubah suai sedikit mengikut hasil carian internet,” katanya.
‘Kejayaan’ menghasilkan kuih bakul itu kemudian dimuat naik ke media sosial dan menjadi tular. Bermula dengan hanya satu tempahan pengguna Facebook, lama-kelamaan semakin ramai menempah kuih bakul Fuziah melalui media sosial.
“Saya membuat kuih ini berdasarkan permintaan, tempahan minimum sekurang-kurangnya 2 biji dan kami pernah menghasilkan kira-kira 100 biji kuih bakul dalam tempoh 4 hari bagi memenuhi tempahan sebuah badan bukan kerajaan pada tahun lepas.
“Pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada pelbagai kaum, ada juga membuat permintaan khas untuk kuih bakul dalam balutan daun pisang kerana lebih wangi,” katanya.
Tempah seminggu awal
Tanpa disangka ‘nian gao’ yang dibuat sekadar untuk hidangan keluarga akhirnya menjadi sumber rezeki Fuziah.
Tindakan memuat naik nian gao itu di Facebook 2 tahun lalu ternyata mendapat permintaan ramai. Lebih 1,000 kuih bakul terjual ke seluruh negara setiap tahun termasuk pada musim perayaan Aidilfitri.
“Kebiasaannya pada Tahun Baharu Cina, tidak ramai pelanggan berbangsa Cina yang membelinya, kebanyakannya orang Melayu. Tetapi di luar musim Tahun Baharu Cina, ramai dalam kalangan masyarakat Cina membeli serta membuat tempahan,” katanya.
Tempahan yang diterima semakin meluas termasuk dari Sabah dan Sarawak selepas video kuih bakulnya dimuat naik ke Facebook dan Instagram.
“Ramai pelanggan mendapat tahu mengenai kuih bakul saya menerusi media sosial dan kebiasaannya saya mengambil tempahan seminggu lebih awal dari tarikh yang diperlukan.
“Kuih bakul perlu dibiarkan sejuk selama kira-kira 3 hari pada suhu bilik selepas dimasak atau dibiarkan 2 hari di dalam peti sejuk bagi memudahkannya dipotong dan dihidangkan,” katanya.
Selain dimakan begitu sahaja, ada yang gemar menikmati kuih bakul yang digoreng dengan ubi keladi dan keledek atau dicicah dengan kelapa parut.
“Mulanya hanya saya tapi sekarang kesemua keluarga sangat menggemari kuih bakul, terutamanya ketika dihidangkan selepas dikukus dan dicicah dengan kelapa parut. Kuih ni sedap juga dimakan selepas dikeluarkan dari peti sejuk kerana rasanya seperti makan kuih dan gula-gula,” kata Abdul Hadi.