
Pembantu Datuk Luew Vui Keong itu berkata memang ada pertikaian mengenai hak tanah adat di kedua-dua negeri itu sebelum ini, namun ia dibawa ke mahkamah dan sebarang keputusan yang dibuat oleh hakim yang memihak kepada masyarakat orang asal terbabit sentiasa dihormati oleh kerajaan
“Masalah hak tanah adat di Sabah dan Sarawak memang wujud namun apabila masalah tersebut dibawa ke mahkamah dan keputusan menyebelahi tuntutan pihak anak negeri, kedua-dua kerajaan negeri akur kepada keputusan tersebut,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata Putrajaya dilihat membuli kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS jika tidak menyaman kerajaan negeri lain yang pernah dituduh menyalahi hak tanah adat, seperti Sabah dan Sarawak.
Martin berkata tak timbul isu buli-membuli kerana tindakan undang-undang diambil selepas rungutan dan tuntutan Orang Asli tidak dipedulikan kerajaan Kelantan, yang masih mengeluarkan lesen pembalakan yang didakwa menceroboh tanah-tanah adat.
“Sebagai langkah terakhir Kerajaan Persekutuan terpaksa membawa isu ini kepada Mahkamah dengan menfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan dan 7 lagi untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang,” katanya.
Martin turut menafikan andaian saman dibuat sempena pilihan raya kecil Cameron Highlands atau bermotif politik.
“Masalah akibat pencerobohan tanah adat Orang Asli sudah lama berlaku.
“Saya menyarankan kepada kerajaan PAS Kelantan supaya menghentikan semua aktiviti pembalakan di kawasan Orang Asli sehingga mahkamah membuat keputusan,” katanya.