
Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Shariff berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan suruhanjaya itu menyiasat jika terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran merancang untuk membina struktur kekal di atas tanah terbabit.
“Adalah pelik bagaimana DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) boleh meluluskan kebenaran merancang di atas tanah bukan milik syarikat yang membina ataupun milik DBKL.
“Kita merasakan ada pihak yang terlibat dalam proses ini mendapat imbuhan atau habuan daripada sama ada pihak syarikat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan tersebut di ibu pejabat SPRM.
Beliau berkata dokumen yang diserahkan kepada SPRM termasuk kronologi kes, laporan Jabatan Integriti DBKL serta laporan dan notis pemberitahuan mengosongkan tapak oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Zulhazmi, notis mengosongkan premis diberikan kepada pemilik bangunan pada 3 Jan lepas, namun tidak diendahkan syarikat terbabit.
Pada 16 Jan, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata siasatan dalaman Jabatan Integriti DBKL mendapati kedua-dua tanah itu iaitu Lot 568 merupakan milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan manakala Lot 716 adalah hak milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.
Khalid berkata 2 lot tanah seluas 0.14 hektar (16,000 kaki persegi) itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok tetapi kini digantikan dengan sebuah bangunan pejabat 6 tingkat serta gerai buah-buahan.
Menurutnya, adalah tidak wajar untuk pihak berkuasa pada ketika itu mengatakan tidak tahu tentang penyelewengan yang berlaku di atas tanah bernilai hampir RM20 juta terbabit memandangkan terdapat bantahan dibuat oleh 2 ahli Parlimen pada masa itu dan kes berkenaan turut mendapat liputan media.
Khalid berkata arahan bagi meluluskan pembinaan bangunan dipercayai milik syarikat tempatan itu dibuat pada 2016 dan kerja pembinaan siap pada Februari tahun lepas.