Bekas timbalan menteri tak tahu penyelewengan lot tanah kerajaaan

Bekas timbalan menteri tak tahu penyelewengan lot tanah kerajaaan

Bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan, Loga Bala Mohan ditanya mengenai 2 lot tanah milik kerajaan di Bukit Bintang yang didakwa diceroboh.

PETALING JAYA: Datuk Loga Bala Mohan hari ini berkata dia tidak tahu mengenai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan 2 lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang.

Bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan itu berkata perkara itu bukan bawah bidang kuasanya.

“Saya tak tahu, saya tak mahu komen,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tersebut.

Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Shariff berkata laporan dibuat bagi membolehkan SPRM menyiasat jika terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran untuk membina struktur kekal atas tanah terbabit.

Pada 16 Januari lalu, Menteri Khalid Samad mendedahkan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan 2 lot tanah itu.

Beliau berkata, tanah terbabit adalah Lot 568 milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan Lot 716, yang dimiliki Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara (yang diurus tadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, 2 lot tanah seluas 0.14 hektar itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat 6 tingkat serta gerai buah-buahan.

Mengulas isu sama, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz pula tidak ingat latar belakang projek berkenaan.

“Kena dapat ulasan daripada pegawai DBKL yang masih bertugas dengan pejabat tanah. Dokumen ada pada mereka.

“Saya tak dapat nak ulas sebab saya tak ingat latar belakang projek, pasal tanah ini terlampau banyak dan kita tak ingat yang mana satu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.