
Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd mendakwa pihaknya sudah pun mendapatkan kebenaran setiausaha politik Wan Azizah untuk membolehkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon membaca teks ucapan perasmian pagi tadi.
“Sebelum ini dapat surat rasmi daripada pejabat TPM untuk hadir dalam majlis itu. Tetapi malam tadi kita dapat maklumat TPM tak jadi datang,” pengerusi eksekutif syarikat itu Abdul Rashid Abdul Rahim memberitahu FMT.
Ia susulan kenyataan dari pejabat Wan Azizah berkata ia tidak pernah meluluskan ucapan itu atau mewakilkan sesiapa pun untuk membacakan teks tersebut.
Pejabat TPM merujuk kepada ucapan yang dibacakan di pelancaran projek jalur lebar berkelajuan tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) bernilai berbilion ringgit yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications hari ini.
Ia berkata Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG.
“Saya tanya setiausaha politik Wan Azizah macam mana? Siapa akan hadir? Selepas itu saya nampak Rashid. Saya tanya dia boleh tak wakilkan Wan Azizah dan dia tidak menolak selepas dapat kebenaran daripada setiausaha politik Wan Azizah,” kata Abdul Rashid kepada FMT.
FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada setiausaha politik Wan Azizah, Romli Ishak.
Sementara itu, Abdul Rashid, yang juga abang kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kecewa dengan respon kerajaan walaupun projek itu disokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sama ada terdapat unsur politik saya tak tahu,” katanya.
“Saya kecewa sedikit. Kita jemput Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan saya juga dan bentang projek ini kepada perdana menteri dan beliau setuju 100%,” katanya.
Sementara itu, Rashid Hasnon menyalahkan penganjur yang memintanya membaca ucapan Wan Azizah.
“Saya hadir ke jemputan mereka, (sebab) saya nak dengar ucapan TPM, (tapi) penganjur suruh saya wakil TPM sebab dia kata TPM ada hal lain,” katanya.
Beliau berkata tidak tahu-menahu dan keliru dengan penganjur.
“Saya tahu penganjur bagi teks ucapan tapi bukan daripada TPM. Saya baca sahaja. Bukan ayat Wan Azizah tetapi teks ucapan daripada penganjur,” katanya.